Skip Ribbon Commands
Skip to main content
UCAPAN YANG BERHORMAT MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI DAN MENTERI PERTAHANAN II SEMPENA MENYAMBUT BULAN RAMADAN TAHUN 1447H/2026M

 


اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي شَرَعَ لَنَا الصِّيَامَ تَزْكِيَةً لِلنُّفُوسِ وَتَهْذِيبًا لِلْأَخْلَاقِ، وَجَعَلَهُ سَبِيلًا إِلَىٰ التَّقْوَىٰ،

وَٱلصَّلَاةُ وَٱلسَّلَامُ عَلَىٰۤ أَشۡرَفِ ٱلۡمُرۡسَلِينَ، نَبِيِّنَا مُحَمَّدٍۢ صَلَّى ٱللَّهُ عَلَيۡهِ وَسَلَّمۡ 

وَعَلَىٰۤ ءَالِهِۦ وَأَصۡحَابِهِۦ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَىٰ يَوْمِ الدِّينِ، أَمَّا بَعْدُ

 

         Alhamdulillāh, segala puji dan syukur peramba/saya panjatkan ke hadrat Allah Subḥānahu wa Ta'ālā, Tuhan Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Dengan izin dan limpah rahmat-Nya jua, kita sekali lagi dipertemukan dengan Syahrul Mubārak, bulan Ramadan al-Mubārak — sebuah madrasah rohani yang hadir untuk menyuci jiwa, memperhalusi akhlak dan memperkukuh kembali nawaitu dalam memikul Amanah setelah kita melalui bulan Rejab dan Syaaban, bulan-bulan persiapan menemui Ramadan. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad ﷺ, ke atas ahli keluarga Baginda serta para sahabat Baginda yang setia, sebagai ikutan dan pedoman hingga ke akhir zaman.

 

         Kehadiran bulan Ramadan 1447 Hijrah merupakan suatu anugerah Ilahi yang sarat dengan hikmah dan ibrah. Ia bukan sahaja membentuk peribadi insan, bahkan memperkukuh adab, amanah dan keluhuran perjalanan organisasi secara keseluruhannya. Bulan yang dipenuhi dengan limpahan rahmat, keampunan dan kasih sayang Allah Subḥānahu wa Ta'ālā ini menjadi medan mujahadah serta ruang penyucian jiwa, tempat diperbaharui niat, diperhalusi amal dan diperkukuh keikhlasan dalam menuntut keredaan-Nya. Sesungguhnya, pertemuan dengan bulan yang mulia ini merupakan nikmat yang amat besar, kerana melaluinya mutu amal dan martabat kerja dapat dipertingkatkan, niat dalam melaksanakan amanah diperbetulkan, serta ikhtiar diperkemas demi mencapai kejayaan yang hakiki, di dunia dan di akhirat.

 

         Sehubungan itu, peramba/saya membawa sekalian lapisan kepimpinan, Pegawai-pegawai dan anggota-anggota Kementerian Pertahanan tentera dan awam agar bersama-sama bermujahadah menuntut keredaan Allah Rabbul 'Izzati. Di samping melaksanakan tugas dan menunaikan bakti dengan penuh amanah dan profesionalisme, marilah kita memperhalusi didikan jiwa dan menyucikan rohani agar sentiasa berada dalam lingkaran taqwa dan muraqabah kehadrat Allah Subḥānahu wa Ta'ālā. Ibadah puasa mendidik kita menahan diri, membina disiplin dalaman, mengasuh kesabaran dan kejujuran — nilai-nilai teras yang memperkukuh tanggungjawab dalam setiap peranan yang dipikul. Sesungguhnya taqwa itulah asas segala kebajikan; daripadanyalah lahir keikhlasan niat, keteguhan jiwa dan keupayaan mengekang hawa nafsu dalam menghadapi segala ujian dengan hikmah dan istiqamah.

 

         Berlandaskan semangat dan keberkatan bulan Al-Quran ini, pengisian rohani terus diperkasakan sebagai sebahagian daripada usaha berterusan membina ketahanan jiwa, memperkukuh disiplin diri dan mengekalkan keseimbangan rohani warga Kementerian Pertahanan. Sejajar dengan pelaksanaan pada tahun-tahun sebelumnya, Ihya Ramadan iaitu aktiviti-aktiviti keagamaan yang telah dirangka dan akan dipandu perlaksanaan nya oleh Jabatanarah Agama Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (JAMA'AT) secara tersusun dan berterusan mengikut tiga (03) fasa penghayatan bulan Ramadan merangkumi tadarus al-Qur'an, majlis-majlis ta'līm dan pengisian ilmu, di samping pelaksanaan solat sunat Tarawih serta Qiyāmullail di surau-surau dan masjid-masjid di seluruh perkhemahan serta kawasan operasi.

 

Disiplin rohani yang dipupuk melalui ibadah-ibadah ini diharapkan menjadi teras kepada pembinaan kekuatan luaran dan dalaman peribadi, yang seterusnya diterjemahkan dalam peningkatan kualiti kerja, kewibawaan kepimpinan serta kecekapan perkhidmatan seharian. Dalam masa yang sama, Program Jangkauan Ramadan akan terus digerakkan sebagai wahana untuk mengukuhkan ukhuwwah, menyemai nilai ihsan dan memupuk semangat kebersamaan, selaras dengan peranan Kementerian Pertahanan dalam mempertahankan kedaulatan negara di samping menyantuni kesejahteraan ummah.

 

         Justeru, marilah kita bersama-sama merebut peluang berharga ini untuk memperteguh disiplin diri dan memperhalusi amal ibadah, dengan menjadikan bulan Ramadan ini sebagai wasilah untuk lebih mendekatkan diri kepada Allah Subḥānahu wa Ta'ālā. Ramadan mendidik kita membezakan antara keperluan dan kehendak, serta antara tanggungjawab duniawi dan tuntutan ukhrawi yang bersifat kekal dan abadi. Sebagaimana firman-Nya dalam Surah al-Insyirāḥ (ayat 5-8), yang kira-kira bermaksud, “bahawa setiap kesukaran itu disertai kemudahan, dan setelah menunaikan sesuatu amanah, hendaklah kita melanjutkan usaha dengan penuh pergantungan kepada Allah SWT"— hakikat yang menguatkan jiwa agar kita terus berusaha tanpa berputus asa.

                 

         Sebagai penutup kata, peramba/saya dengan tulus nya menyampaikan ucapan Selamat Menunaikan Ibadah Fardu Puasa dan amalan-amalan lain di Bulan Ramadan al-Mubārak kepada seluruh warga Kementerian Pertahanan, walau di mana jua mereka berada, berserta ahli keluarga masing-masing. Semoga madrasah Ramadan ini memperteguh iltizam, memperkaya nilai kepimpinan dan memantapkan jati diri kita sebagai hamba Allah yang bertaqwa. Mudah-mudahan Allah Subḥānahu wa Ta'ālā mengurniakan nikmat dan rahmat kesihatan, kekuatan jasmani dan rohani serta keazaman yang teguh, agar dapat menunaikan ibadah dengan bersemangat dan sempurna. Semoga setiap ibadah yang dilaksanakan dengan penuh keikhlasan dan istiqamah diterima sebagai amal soleh yang diredai-Nya.

 

ٱللَّهُمَّ سَلِّمنَا لِرَمَضَانَ، وَسَلِّمۡ رَمَضَانَ لَنَا، وَتَسَلَّمْهُ لَنَا مُتَقَبَّلًا

“Ya Allah berilah keselamatan kepadaku untuk (menghadapi) Ramadan, berilah kesejahteraan Ramadan untukku dan terimalah Ibadah Ramadan dariku"

 

Aamiin ya Rabbal Alamiin.

 

وَبِاللهِ التَّوْفِيْقُ والهِدَايَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه

 ​


Attachments