Skip Ribbon Commands
Skip to main content
PENTAULIAHAN MANTERI HULUBALANG SEMPURNA DILAKSANAKAN

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 12 Julai. - Istiadat Mengurniakan Tauliah Manteri Hulubalang sempurna dilaksanakan kepada tiga orang lagi penerima yang berlangsung dengan penuh adat beristiadat di Surau Istana Nurul Iman.

Pentauliahan Manteri Hulubalang ini juga merupakan kurnia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Berangkat ke istiadat tersebut, paduka anakanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen selaku wakil peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia.

Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia didahului Hulubalang Diraja yang membawa Pemuras dan Karga manakala Hulubalang Asgar membawa Kelasak dan Kampilan berjalan di hadapan DYTM sambil diiringi Perhiasan Empat serta dijunjung oleh Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris bin Pengiran Maharaja Lela Pengiran Muda Abdul Kahar.

Istiadat dimulakan dengan pengurniaan Tauliah Manteri Hulubalang dengan gelaran Penglima Asgar kepada 17535 Sarjan Awang Abdul Rashid bin Metarshad.

17535 Sarjan Awang Abdul Rashid masuk mengadap dengan diapit di sebelah kiri oleh Pengarah Awang Jaini bin Haji Mahmud serta seorang Awang-Awang membawa Gangsa Sireh dan duduk di tempat yang dikhaskan.

Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Awang Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Awang Mohd. Yusof kemudiannya mengadap dan menyembahkan ke hadapan majlis DYTM bahawa Istiadat Mengurniakan Tauliah Manteri Hulubalang kepada 17535 Sarjan Awang Abdul Rashid telah siap sedia. DYTM seterusnya memperkenankan untuk istiadat dimulakan.

Begawan Mudim Awang Haji Suhaili bin Haji Kalong menjunjung anugeraha dan duduk di sebelah kanan 17535 Sarjan Awang Abdul Rashid.

Kemudian, Begawan Mudim Awang Haji Mat Salleh bin Haji Damit menjunjung anugeraha serta dua orang Awang-Awang, seorang membawa Gangsa yang berisi Tauliah dan seorang membawa Gangsa Kurnia Persalinan duduk di belakang 17535 Sarjan Awang Abdul Rashid.

Setelah itu, Mudim Awang Haji Suhaili menjunjung anugeraha lalu menapakkan Gangsa Sireh di bahu kanan dan kiri seterusnya di atas kepala 17535 Sarjan Awang Abdul Rashid.

Selesai menapakkan Gangsa Sireh, Begawan Mudim Awang Haji Mat Salleh menjunjung anugeraha (berdiri) dan terus membacakan Tauliah dan dari itu, 17535 Sarjan Awang Abdul Rashid dianugerahkan gelaran sebagai Penglima Asgar Awang Abdul Rashid.

Selesai bacaan Tauliah dilaksanakan, Doa Selamat dibacakan oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Awang Haji Mustapa bin Haji Murad.

Penglima Asgar Awang Abdul Rashid seterusnya menjunjung anugeraha dan diikuti oleh Pengarah Awang Jaini, Begawan Mudim Awang Haji Mat Salleh serta Awang-Awang yang Membawa Gangsa Sireh, Tauliah dan Kurnia Persalinan.

Penglima Asgar antara lain berperanan menjadi Kepala Jalan di sebelah kiri bagi perangkatan Sultan di dalam sesuatu istiadat dengan membawa Kampilan pada tangan kanan dan Kelasak pada tangan kiri dan apabila perangkatan baginda menghadiri sesuatu istiadat itu telah sampai di tempat persemayaman yang dikhaskan dia akan berdiri di luar pintu atau di tempat masuk ke tempat persemayaman. Selain itu, ia juga bertanggungjawab menjaga keselamatan Sultan dalam sesuatu majlis beristiadat.

Istiadat kemudiannya diteruskan lagi dengan pengurniaan Tauliah Manteri Hulubalang kepada 19523 Koperal Awang Mohamad Badarudin bin Haji Md. Sofian dengan gelaran Perwira Asgar.

19523 Koperal Awang Mohamad Badarudin masuk mengadap dengan diapit di sebelah kiri oleh Pengarah Awang Haji Kilali bin Haji Abd. Rahman serta seorang Awang-Awang membawa Gangsa Sireh masuk mengadap dan duduk di tempat yang dikhaskan.

Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Awang Adanan kemudiannya mengadap dan menyembahkan ke hadapan majlis DYTM bahawa Istiadat Mengurniakan Tauliah Manteri Hulubalang kepada 19523 Koperal Awang Mohamad Badarudin telah siap sedia. DYTM sekali lagi memperkenankan untuk istiadat dimulakan.

Setelah itu, Begawan Mudim Awang Haji Amran bin Haji Md. Salleh menjunjung anugeraha dan duduk di sebelah kanan 19523 Koperal Awang Mohamad Badarudin kemudian diikuti Begawan Mudim Awang Haji Ahmad Kasra bin Haji Ibrahim menjunjung anugeraha serta dua orang Awang-Awang, seorang membawa Gangsa yang berisi Tauliah dan seorang membawa Gangsa Kurnia Persalinan duduk di belakang 19523 Koperal Awang Mohamad Badarudin.

Begawan Mudim Awang Haji Amran kemudiannya menjunjung anugeraha lalu menapakkan Gangsa Sireh di bahu kanan dan kiri seterusnya di atas kepala 19523 Koperal Awang Mohamad Badarudin dan selesai menapakkan Gangsa Sireh, Begawan Mudim Awang Haji Ahmad Kasra menjunjung anugeraha (berdiri) dan seterusnya membacakan Tauliah.

Setelah bacaan Tauliah dilaksanakan, Begawan Mudim Awang Haji Amran pun duduk dan Doa Selamat dibacakan oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Awang Haji Suhaili bin Haji Metali Al-Hafiz.

Dengan dianugerahkan nama gelaran Perwira Asgar, 19523 Koperal Awang Mohamad Badarudin dikenali sebagai Perwira Asgar Awang Mohamad Badarudin.

Selesai sahaja bacaan Doa Selamat, Perwira Asgar Awang Mohamad Badarudin pun menjunjung anugeraha, diikuti oleh Pengarah Awang Haji Kilali, Begawan Mudim Awang Haji Ahmad Kasra serta Awang-Awang yang Membawa Gangsa Sireh, Tauliah dan Kurnia Persalinan.

Antara tanggungjawab Perwira Asgar ialah menjadi Kepala Jalan di sebelah kiri bagi perangkatan Begawan Sultan dan Suri Seri Begawan Raja dalam sesuatu istiadat dengan menyahan Pemuras di sebelah bahu kanan dan bertanggungjawab menjaga keselamatan Begawan Sultan dalam sesuatu majlis yang beristiadat.

Selain itu, Perwira Asgar juga antara lain bertanggungjawab memerhatikan kecekapan pegawai-pegawai keselamatan diraja serta mengadakan penyelidikan dan pengkajian mengenai masalah yang berkaitan dengannya untuk disembahkan kepada Sultan sebagai nasihat.

Istiadat kemudiannya diteruskan lagi dengan pengurniaan Tauliah Manteri Hulubalang kepada 19653 Koperal Awang Abdul Malik bin Awang Hidup.

19653 Koperal Awang Abdul Malik masuk mengadap dengan diapit di sebelah kiri oleh  Pengarah Awang Haji Brahim @ Momin bin Haji Mohd. Yusof serta seorang Awang-Awang membawa Gangsa Sireh masuk mengadap dan duduk di tempat yang dikhaskan.

Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Awang Adanan sekali lagi mengadap dan menyembahkan ke hadapan majlis DYTM bahawa Istiadat Mengurniakan Tauliah Manteri Hulubalang kepada 19653 Koperal Awang Abdul Malik telah siap sedia. DYTM kemudiannya memperkenankan untuk istiadat dimulakan.

Kemudian Begawan Mudim Awang Abd. Latif bin Haji Saman menjunjung anugeraha dan duduk di sebelah kanan 19653 Koperal Awang Abdul Malik dan selepas itu Begawan Mudim Awang Haji Tamin bin Haji Puting menjunjung anugeraha serta dua orang Awang-Awang, seorang membawa Gangsa yang berisi Tauliah dan seorang membawa Gangsa Kurnia Persalinan duduk di belakang  19653 Koperal Awang Abdul Malik.

Begawan Mudim Awang Abd. Latif menjunjung anugeraha lalu menapakkan Gangsa Sireh di bahu kanan dan kiri seterusnya di atas kepala 19653 Koperal Awang Abdul Malik dan selesai menapakkan Gangsa Sireh berkenaan, Begawan Mudim Awang Haji Tamin menjunjung anugeraha (berdiri) dan terus membaca Tauliah.

Setelah bacaan Tauliah dilaksanakan, Begawan Mudim Awang Haji Tamin pun duduk dan Doa Selamat dibacakan oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Awang Haji Emran bin Haji Kunchang.

Dengan penganugerahan gelaran Hulubalang Asgar, 19653 Koperal Awang Abdul Malik dikenali sebagai Hulubalang Asgar Abdul Malik.

Selesai sahaja bacaan Doa Selamat, Hulubalang Asgar Abdul Malik pun menjunjung anugeraha, diikuti oleh Pengarah Awang Haji Brahim @ Momin, Begawan Mudim Awang Haji Tamin serta Awang-Awang yang membawa Gangsa Sireh, Tauliah dan Kurnia Persalinan.

Adapun Hulubalang bertanggungjawab dalam menjadi pembantu kepada kedua-dua Penglima yang akan menjalankan tugas yang sama bagi perangkatan Sultan atau putera dan puteri Sultan berangkat dalam sesuatu istiadat sebagaimana yang dilakukan oleh kedua Penglima terhadap Sultan.

Selain itu juga, antara peranannya ialah bertanggungjawab menjaga keselamatan Sultan atau putera dan puteri Sultan dalam sesuatu majlis yang beristiadat.

Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Awang Adanan mengadap dan menyembahkan ke hadapan majlis DYTM bahawa Istiadat Mengurniakan Tauliah Manteri Hulubalang telah sempurna dilaksanakan.

DYTM berangkat dari majlis didahului oleh dua orang Hulubalang iaitu, Hulubalang Diraja yang membawa Pemuras dan Karga dan Hulubalang Asgar yang membawa Kelasak dan Kampilan berjalan di hadapan DYTM serta Perhiasan Empat DYTM (berjalan di belakang DYTM).

Istiadat Mengurniakan Tauliah Manteri Hulubalang ini buat julung kalinya diadakan di Istana Nurul Iman dan dari upacara seumpama ini mencerminkan keunikan adat yang masih lagi dipraktikkan di Negara Brunei Darussalam dari segi mengekalkan gelaran yang sedia ada dari dahulu sehingga sekarang meskipun pada era zaman moden ini.

Selain itu juga, adat kebruneian ini dapat kita saksikan adalah bersendikan Hukum Syarak antaranya adanya bacaan Doa Selamat agar dirahmati dan mengutamakan kesetiaan kepada raja yang kita kasihi.

Antara majlis-majlis yang melibatkan Manteri-Manteri Hulubalang termasuk Istiadat Berpuspa, Istiadat Bagi Memperingati Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Istiadat Mengurniakan Gelaran dan Istiadat Perkahwinan Diraja.

Di-petik daripada Pelita Brunei Keluaran Hari Rabu, 14 Julai 2021



Begawan Mudim Awang Haji Suhaili menapakkan Gangsa Sireh di bahu kanan dan kiri seterusnya di atas kepala 17535 Sarjan Awang Abdul Rashid


Begawan Mudim Awang Haji Suhaili Awang Haji Ahmad Kasra bin Haji Ibrahim menjunjung anugeraha dan terus membacakan tauliah dan dari itu, 19523 Koperal Awang Mohamad Badarudin di anugerahkan gelaran sebagai Perwira Asgar Awang Mohamad Badarudin bin Haji Md. Sofian


Begawan  Mudim Awang Abd. Latif menapakkan Gangsa Sireh di bahu kanan dan kiri seterusnya di atas kepala 19653 Koperal Awang Abdul Malik bin Awang Hidup


Attachments