Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News Headlines

UCAPAN DARIPADA BRIGEDIER JENERAL (U) DATO SERI PAHLAWAN MOHAMMAD SHARIF BIN DATO PADUKA HAJI IBRAHIM, PEMERINTAH TENTERA UDARA DIRAJA BRUNEI, SEMPENA MENYAMBUT HARI RAYA AIDILFITRI TAHUN 1442H/ 2021M

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

اللهُ أكْبَرُ اللهُ أكْبَرُ اللهُ أكْبَرُ وَِللهِ الحَمْدُ

الحَمْدُ لله رَبِّ العَالَمِيْنَ وَالصَّـلَاةُ وَالسَّـلَامُ عَلى أَشْـرَفِ الأَنْبِيَـاءِ وَالمُرْسَلِيْـنَ وَعَلٰى اٰلِهٖ وَصَحْبِهٖ اَجْمَعِيْنَ


Segala puji dan syukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata'ala, selawat serta salam ke atas Rasul junjungan besar kita Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wassalam, kaum kerabat, para sahabat dan pengikut-pengikut Baginda yang jujur dan taat lagi setia hingga ke akhir zaman.

Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dengan izin dan kurniaNya jua kita berpeluang untuk menyambut kedatangan Hari Raya Aidilfitri 1442H/2021M, hari kemenangan bagi setiap umat Islam yang patut disambut dengan penuh kesyukuran.

Walaupun Ramadhan pada tahun ini masih di dalam suasana norma baharu, kita patut bersyukur kerana ia masih tidak menghalang kita semua untuk mengikuti aktiviti-aktiviti yang berbentuk keugamaan dan kerohanian, terutama sekali di Tentera Udara Diraja Brunei.   Sama-samalah kita berdoa semoga semua amalan dan ibadah yang kita raih di bulan yang penuh pengampunan tersebut diterima oleh Allah Subhanahu Wata'ala. Amiin Ya Rabbal 'Alamin.

Di dalam kita sama-sama menyambut riangnya Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini, janganlah kita lupa dengan norma baharu semasa kita ziarah menziarahi keluarga, sanak saudara dan rakan taulan. Mari kita bersama-sama menjalankan tanggungjawab masing-masing dan sentiasa mematuhi arahan, panduan serta nasihat daripada Kementerian Kesihatan dengan mengutamakan perlaksanaan penjarakkan sosial dan fizikal di dalam sama-sama memutus rantaian penularan wabak COVID-19 di negara ini.

Di hari yang mulia ini, peramba/saya beserta keluarga sukacita ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri 1442H, Maaf Zahir dan Batin kepada semua pegawai, anggota dan kakitangan Tentera Udara Diraja Brunei beserta keluarga, termasuklah kepada pegawai-pegawai dan anggota-anggota TUDB yang berada di perantauan; menjalankan tugas sebagai Penasihat/Atase Pertahanan, menjalani kursus di Malaysia, melaksanakan misi Pasukan Pemantau Antarabangsa (IMT) dan Independent Decommissioning Body Verification, Monitoring and Assistance Team (IDB VMAT) di Republik Filipina dan Misi Pengaman di United Nation Interim Force in Lebanon (UNIFIL). Tidak lupa juga kepada anggota-anggota yang bertugas semasa Sambutan Hari Raya Aidilfitri ini, semoga amalan jariah biskita semua dibalas dengan ganjaran yang setimpal olehNya.

Semoga bulan Syawal pada tahun ini memberikan seribu makna dan keinsafan kepada kita semua dan semoga kita semua diberikan lagi kesempatan untuk merasai nikmatnya Ramadhan dan riangnya Syawal pada tahun hadapan. Amiin Ya Rabbal 'Alamin.

Sekian.

وَبِاللهِ التَّوْفِيْقُ والهِدَايَةُ وَ السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ