
اَلسَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ
اَلْحَمْدُ للهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ، وَالصَّلَاةُ وَالسَّلَامُ عَلَى أَشْرَفِ الْأَنْبِيَاءِ وَالْمُرْسَلِيْنَ
سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ، وَبَعْدُ
dan Salam Sejahtera.
Alhamdulillah, puji dan syukur dipanjatkan kehadrat Allah Subḥānahu wa Ta‘ālā atas limpah kurnia dan rahmat-Nya, kita dikurniakan nafas dan kesempatan untuk melangkah ke lembaran baharu Tahun Masihi 2026, selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muḥammad ﷺ, ahli keluarga Baginda, para sahabat, serta para pengikut Baginda yang setia lagi istiqamah dalam meneruskan risalah hingga ke akhir zaman.
Peramba/saya mewakili ahli Jawatankuasa Eksekutif Pertahanan menyampaikan ucapan Selamat Menyambut Tahun Baharu Masihi 2026 kepada seluruh warga Kementerian Pertahanan — awam dan tentera — yang setia memikul amanah mempertahankan kedaulatan, keselamatan dan kesejahteraan Raja dan Negara Brunei Darussalam. Bertekad tahun baharu ini memperteguh istiqamah pengabdian, memperkukuh profesionalisme, serta meningkatkan mutu perkhidmatan demi kepentingan negara dan rakyat.
Dalam kesempatan yang bermakna ini, marilah kita memperkukuhkan ikrar taat setia yang tidak berbelah bahagi ke hadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu‘izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Sa‘adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, dengan iringan doa semoga Baginda terus dikurniakan Allah Subḥānahu wa Ta‘ālā nikmat taufiq, hidayah, afiyah, inayah dan kekal qarar memerintah Negara Brunei Darussalam dan negara terus membangun dengan aman, makmur dan mencapai Wawasan Brunei 2035.
Kementerian Pertahanan dengan penuh hormat serta takzim menyembahkan sembah menjunjung kasih setinggi-tingginya di atas Titah Perutusan Tahun Baharu 2026 Masihi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam. Kementerian Pertahanan seterusnya menjunjung dan menanai titah Baginda, khususnya dalam kita semua mensyukuri keadaan negara yang istimewa, warisan ugama dan budaya yang kukuh serta semangat perpaduan mempertahankan kedaulatan negara tercinta.
Tarikh 1 Januari bukan sekadar menandakan permulaan tahun baharu, bahkan merupakan tarikh penubuhan Kementerian Pertahanan pada 1 Januari 1984, menjadikan tahun 2026 sebagai tahun ke-42 kewujudan kementerian ini sebagai institusi teras pertahanan negara. Amanah ini menuntut kesetiaan, disiplin dan kebijaksanaan yang berterusan. Alhamdulillah, Negara Brunei Darussalam terus menikmati keamanan dan kestabilan yang menjadi prasyarat utama pembangunan negara — nikmat yang dipelihara melalui kesiapsiagaan, pengorbanan dan perpaduan seluruh warga pertahanan.
Sepanjang tahun 2025, Kementerian Pertahanan khususnya Angkatan Bersenjata Diraja Brunei Darussalam (ABDB) telah mencatat pencapaian yang signifikan hasil perpaduan usaha, kepimpinan yang berwibawa dan iltizam kolektif seluruh warga. Keutamaan strategik telah diperhalus, tadbir urus prestasi diperkukuh melalui penilaian berasaskan Key Performance Indicators (KPI), dan fokus berterusan diberikan kepada impak sebenar terhadap kesiapsiagaan negara. Jika 2025 merupakan fasa pengukuhan asas bahtera pertahanan, maka 2026 menandakan peralihan tegas kepada fasa pelaksanaan pemodenan yang lebih tangkas, terarah dan berasaskan keyakinan strategik yang rasional serta teruji. Sehubungan dengan itu, adalah menjadi harapan agar Kementerian Pertahanan dan ABDB khususnya dapat merealisasikan segala perancangan strategik yang telah digariskan bagi tahun 2026 sebagai mercu tanda pencapaian penting ke arah mendukung aspirasi Wawasan Brunei 2035.
Tahun 2026 membawa makna institusi yang besar apabila negara bakal menyambut Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ’Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ke-80, di samping ulang tahun penubuhan ABDB yang ke-65. Kedua-dua peristiwa ini mencerminkan kesinambungan kepimpinan berdaulat dan kematangan institusi pertahanan negara. Dalam landasan yang sama, tahun ini juga menjadi fasa awal persiapan strategik ke arah Sambutan Jubli Intan 60 Tahun Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta pada tahun 2027, yang menuntut penyelarasan rapi merangkumi aspek operasi, perkhidmatan dan logistik sebagai lambang kesetiaan yang beradab dan dikenang hingga ke akhir zaman.
Lipatan sejarah tahun lalu merakamkan detik gemilang bagi institusi pertahanan negara apabila Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam seterusnya berkenan mengurniakan pangkat Leftenan Kolonel (Udara) kepada Paduka Anakanda Baginda, Duli Yang Teramat Mulia Mejar (Udara) Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen. Pengurniaan ini bukan sahaja memperkukuh imej dan martabat ABDB, malah menjadi manifestasi kepimpinan dan disiplin tinggi yang wajar dijadikan teladan serta sumber inspirasi dalam berbakti kepada Raja dan Negara.
Di peringkat antarabangsa, diplomasi pertahanan negara terus diperkasa melalui interaksi strategik dua hala dan pelbagai hala, serta penglibatan aktif dalam platform ASEAN. Keberkesanan pelaksanaan pendekatan Whole-of-Government dalam misi bantuan kemanusiaan dan kesiapsiagaan bencana seperti di Myanmar, serta penyertaan aktif Negara Brunei Darussalam dalam misi pemerhati jelas membuktikan komitmen berprinsip terhadap keamanan dan kestabilan serantau.
Dalam aspek pemerkasaan modal insan, kita terus meletakkan pendidikan sebagai keutamaan strategik. Melalui kerjasama dengan Universiti Brunei Darussalam, garispandu Pendidikan Tentera Profesional (Professional Military Education – PME) telah diperkukuh, termasuk penaiktarafan kelulusan Command and Staff Course ke peringkat Ijazah Sarjana. Selain itu, penganjuran platform seperti East Asia Security Outlook (EASO) 2025 dan tema pilihannya mengangkat Pulau Borneo sebagai nadi perpaduan serantau, jelas memperkasakan ekosistem ilmu, kepimpinan, dan pemikiran strategik pertahanan kita. Dalam kerangka ini, warga pertahanan digalakkan untuk terus meningkatkan kemahiran dan memperluas pengalaman melalui latihan dan pendedahan yang bersistematik, berperingkat dan relevan dengan tuntutan persekitaran keselamatan semasa.
Melangkah ke tahun 2026, Kementerian Pertahanan akan terus memperteguh sinergi awam–tentera, memantapkan tadbir urus pertahanan, memperkukuh profesionalisme perkhidmatan, serta memacu pemodenan melalui perolehan strategik, pembangunan infrastruktur berdaya tahan dan penyelenggaraan aset berasaskan kebolehgunaan bagi memastikan kesiagaan operasi berada pada tahap optimum. Seiring kemajuan teknologi, termasuk Kecerdasan Buatan (AI), penekanan terhadap ketahanan mental, rohani dan etika perkhidmatan akan terus dipandu oleh prinsip Maqāṣid al-Sharī‘ah.
Dari sudut operasi, kesiapsiagaan akan terus diperkukuh melalui latihan bersepadu, peningkatan keupayaan Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR), serta pemerkasaan pasukan khas. Pembangunan Pasukan Khas Tier 2 dan hala tuju penubuhan Markas Operasi Khas (Special Operations Command – SOCOM) merupakan anjakan strategik utama bagi memastikan ABDB kekal tangkas dan responsif terhadap ancaman keselamatan moden. Bagi memastikan segala langkah ini kekal koheren dan strategik, Kertas Putih Pertahanan 2026 (Kemaskini) sedang diperincikan untuk di terbitkan sempena Hari Ulang Tahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei ke 65 sebagai panduan hala tuju pertahanan negara yang lebih berdaya tahan.
Namun, perlu kita tegaskan dalam arus transformasi dan kepesatan teknologi, kekuatan sejati pertahanan tidak terletak pada sistem semata-mata. Ia berakar umbi pada jati diri, iman yang teguh, disiplin yang tinggi, keberanian yang teruji dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi. Teknologi hanyalah pengganda keupayaan, namun manusia tetap menjadi penentu keberhasilan. Oleh itu, setiap langkah hendaklah sentiasa berpaksikan tadbir urus yang berintegriti serta prinsip Maqāṣid al-Sharī‘ah, demi menjunjung tinggi titah dan kebijaksanaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam memelihara kedaulatan, keselamatan dan kemaslahatan negara.
Akhir kata, peramba/saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga Kementerian Pertahanan — awam dan tentera — atas iltizam, pengorbanan dan kesetiaan yang tidak pernah pudar dan kendur. Penghargaan jua dizahirkan kepada mereka yang melangkah ke alam persaraan, serta doa buat warga yang telah kembali ke rahmatullah. Semoga segala sumbangan masa, tenaga dan fikiran diperhitungkan sebagai amal yang berlipat ganda di sisi Allah Subḥānahu wa Ta‘ālā.
Dengan bertawakal kepada-Nya, marilah kita berdoa agar Tahun Masihi 2026 membuka ufuk baharu yang lebih gemilang, lebih sejahtera dan lebih makmur bagi Negara Brunei Darussalam, serta mengurniakan kekuatan kepada kita selaku penjamin keselamatan untuk terus berbakti sebagai benteng pertahanan yang ampuh, berwibawa dan diyakini. Āmīn Yā Rabbal-‘Ālamīn.
Selamat Tahun Baharu Masihi 2026.
وَبِاللهِ التَّوْفِيْقُ والهِدَايَةُ وَ السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ