BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa 26 Januari 2016 - Pasukan Majlis Sukan ABDB (MS ABDB) telah menjuarai piala Liga Super DST 2015 dengan mengutip 49 mata menerusi 16 kali menang, satu seri dan 1 tewas telah mengadakan Majlis Doa Kesyukuran Sempena Pencapaian Liga Super DST Musim 2015 di Star Lodge Brunei Hotel, Jerudong.
Hadir selaku Tetamu Kehormat ialah Pemerintah Tentera Udara Diraja Brunei, Kolonel (U) Shahril Anwar bin Haji Ma’awiah, selaku Penaung Pasukan Bola Sepak MS ABDB. Turut hadir, Timbalan Pemerintah-Pemerintah Angkatan Tentera ABDB dan Kolonel Haji Abidin bin Haji Abdul Hamid, selaku Pengerusi MS ABDB.
Semasa majlis tersebut Kolonel (U) Shahril Anwar bin Haji Ma’awiah mengingatkan pasukan bola sepak MS ABDB bahawa salah satu komponen bagi meningkatkan keupayaan sesebuah pasukan adalah menerusi latihan yang mantap dan berkesan.
Di sepanjang liga, pasukan MS ABDB menunjukkan prestasi yang cemerlang sehingga dianugerahkan sebagai pasukan 'Fair Play' buat kali kedua dan diikuti dengan penganugerahan pemain terbaik yang di berikan kepada Sld Abdul Azizi bin Ali Rahman.
Dalam usahanya meningkatkan mutu bola sepak, pasukan bola sepak MS ABDB telah menghantar seorang jurulatih mengikuti Kursus Jurulatih Kelas C Bola Sepak dan Kursus Kecergasan FIFA yang diiktiraf oleh Federation of International Football Association (FIFA) dan Asian Football Confederation (AFC) yang dianjurkan oleh National Football Association Brunei Darussalam (NFABD). Dengan menghadiri kursus tersebut jurulatih berkenaan diharap akan dapat mendidik dan melatih pemain-pemain MS ABDB dalam membuahkan hasil permainan yang lebih mantap dan berkualiti.
Majlis tersebut juga diselajurkan dengan penganugerahan kepada pemain terbaik 2015 sebanyak 7 anugerah untuk pasukan bagi mengiktiraf pencapaian dan kecemerlangan pemain-pemain sepanjang tahun 2015.
Penerima-penerima anugerah adalah:
1. Penjaga Gol Terbaik :- Sld Mohd Tarmizi bin Haji Mat Johari
2. Pemain Pertahanan Terbaik :- Sld Affendy bin Hj Akup
3. Pemain Tengah Terbaik :- LKpl Ak Mohd Safri bin Pg Haji Othman
4. Pemain Penyerang Terbaik :- Sld Abdul Azizi bin Ali Rahman
5. Pemain Terbaik Keseluruhan :- Sld Abdul Azizi bin Ali Rahman
6. Pemain Berbakat :- Sld Razime bin Ramlli
7. Penjaring Gol Terbanyak :- Sld Abdul Azizi bin Ali Rahman
Majlis diteruskan dengan penyampaian sumbangan Kerusi Roda daripada pasukan bolasepak MS ABDB kepada Persatuan Kanak-Kanak Cacat (KACA) yang diserahkan oleh Tetamu Kehormat kepada Awang Tengah bin Ahmad dan Pihak Hospital RIPAS yang diserahkan kepada Dayang Nordewati bte Abdul.

