PERKHEMAHAN LUMUT, Jumaat 28 Disember 2012– Satu Upacara Serah Terima Tugas Pegawai Pemerintah Batalion Ketiga, Tentera Darat Diraja Brunei telah berlangsung di Padang Kawad Batalion Ketiga TDDB di Perkhemahan Lumut. 409 Mejar Zulkarnain bin Haji Abd Wahab kini adalah Pegawai Pemerintah Batalion Ketiga TDDB yang baru setelah secara rasmi mengambil alih jawatan tersebut dari 406 Leftenan Kolonel Mohd Shafiee bin Duraman dalam majlis yang dihadiri oleh Pegawai-Pegawai dan Lain-Lain Peringkat serta jemputan.
Sebaik tiba di padang kawad, Pegawai Pemerintah Batalion Ketiga, Leftenan Kolonel Mohd Shafiee bin Duraman menerima Tabik Kehormat dan seterusnya memeriksa Perbarisan Kawalan Kehormatan yang terdiri daripada anggota Batalion Ketiga TDDB di bawah perintah Ketua Perbarisan, Mejar Zulkefli bin Bujang.
Acara diteruskan dengan Upacara menandatangani Sijil Serah Terima Tugas Jawatan Pegawai Pemerintah Batalion Ketiga TDDB, menandakan secara rasmi upacara serah terima tugas. Doa selamat dibacakan bagi memberkati upacara tersebut yang dibaca oleh Leftenan Narulismandy bin Haji Samaih. Bagi menandakan penerimaan jawatan, Pegawai Pemerintah Batalion Ketiga TDDB yang baru, Mejar Zulkarnain bin Haji Abd Wahab menerima Tabik Hormat dan memeriksa Perbarisan Kawalan Kehormatan.
Leftenan Kolonel Mohd Shafiee mula berkhidmat sebagai Pegawai Pemerintah Batalion Ketiga TDDB pada 2 November 2009 sehingga pada tarikh Upacara Serah Terima Tugas ini dibuat.


