PENANJONG GARISON, Jumaat, 18 Januari 2013 – Upacara Penyampaian Pingat Kerja Lama dan Perangai Baik (Tentera) ABDB telah disampaikan oleh Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin selaku Tetamu Kehormat.

Seramai 260 anggota tentera yang masih berkhidmat dan yang telah bersara telah menerima pingat mereka. Penerima-penerima pingat adalah terdiri daripada Pengambilan Lelaki 84, 85, 86, 87 dan 88; Askar Muda Pengambilan 15, 16, 17 dan 18 manakala Askar Wanita Pengambilan 23, 24, 25 dan 26.

Upacara perbarisan penyampaian pingat diadakan di Padang Kawad Institut Latihan, ABDB, Penanjong Garison. Perbarisan diketuai oleh Lt Kol (L) Pg Mohamad bin Pg Haji Damit. Kriteria yang berhak menerima pingat hendaklah berkhidmat dengan ABDB selama 18 tahun dan tidak melakukan kesalahan yang melibatkan mahkamah awam dan tentera. 

Tujuan penyampaian pingat adalah untuk mengenang jasa bakti tentera yang telah berkhidmat di ABDB. Upacara pada tahun ini dipengerusikan oleh Lt Kol Haji Mohd Doon bin Haji Mohammad, Pegawai Pemerintah Depoh Logistik, Tentera Darat Diraja Brunei.