PENANJONG GARISON, Sabtu 26 April 2014 – Upacara Penutupan Rasmi Eksesais BRUMAL Setia Siri 11/2014 telah diadakan di padang kawad Institut Latihan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.


Hadir selaku Tetamu Kehormat ialah Panglima Tentera Darat Malaysia, Yang Berbahagia Jeneral Datuk Raja Mohamed Affandi bin Raja Mohamed Noor.

Turut hadir ialah Pemerintah Tentera Darat Diraja Brunei, Brigedier Jeneral Dato Seri Pahlawan Haji Yussof bin Haji Abd Rahman. Upacara dimulakan dengan hormat panglima dari perbarisan gabungan anggota Batalion Ketiga Tentera Darat Diraja Brunei (3BN TDDB) dan anggota Kompeni A 3 Rejimen Askar Melayu Diraja (3RAMD) yang diketuai oleh Mejar Haji Effendi bin Haji Mohd Deli.

Ini diikuti dengan penyerahan bendera Kompeni A 3RAMD menandakan berakhirnya kemasukan kompeni tersebut ke dalam organisasi 3BN TDDB disepanjang eksesais dijalankan. Penyerahan bendera disempurnakan oleh Pegawai Pemerintah 3BN TDDB, Leftenan Kolonel Mohd Zulkarnain bin Haji Abdul Wahab, kepada Pegawai Memerintah  Kompeni A 3RAMD, Mejar Khairul Iskandar bin Kamanoorizahar. Upacara perbarisan diakhiri dengan ucapan khas dari Tetamu Kehormat dan seterusnya bacaan doa dari Pemangku Penolong Ketua Jabatan Agama Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.


Eksesais BRUMAL Setia merupakan latihan dua hala di antara Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB) dan Tentera Darat Malaysia (TDM) yang dihoskan secara bergilir-gilir sejak tahun 1993. Ianya bertujuan untuk meningkatkan tahap keupayaan serta
inter-operability dalam operasi ketenteraan. Eksesais pada tahun ini adalah eksesais timbal balas kepada Eksesais MALBRU Setia pada tahun 2011 bersama-sama dengan 21 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di Miri, Sarawak dan 3BN TDDB telah pun diamanatkan untuk mengendalikan eksesais tersebut yang bermula pada 15 April 2014.


Konsep eksesais kali ini ialah operasi menentang insurgensi
(Counter-Insurgencies, COIN Operation) yang melibatka operasi hutan malahan dan kawasan bandar. Dari eksesais tersebut hubungan dua hala kedua buah tentera telahpun dipereratkan lagi dan setentunya meningkatkan tahap kesiapsiagaan dibidang profesionalisme, keanggotaan, peralatan mahupun prosedur. Anggota-anggota yang terlibat juga telah berpeluang untuk meningkatkan kualiti serta kemahiran dalam pelbagai dimensi peperangan, perancangan dan pelaksanaan operasi bersama.

Sebelum upacara penutupan rasmi bermula, Tetamu Kehormat berserta rombongan turut menyaksikan pertunjukan Serangan Batalion gabungan anggota 3BN TDDB dan Kompeni A 3RAMD bertempat di kawasan Padang Tembak Binturan. Serangan akhir juga turut disertai dengan aset bantuan dari Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB) dan Batalion Bantu Tentera Darat Diraja Brunei. Eksesais MALBRU Setia seterusnya telah pun dipersetujui untuk digabungkan dengan Eksesais Mertak Bersatu dan dijangka akan berlangsung pada tahun 2015 di Sabah, Malaysia.