BERAKAS GARISON, Selasa 3 Sept 2013 – Upacara Kemasukan Kenderaan Pasukan dan Skuadron Semboyan ke Tentera Darat Diraja Brunei bertempat di Padang Kawad Batalion Pertama Tentera Darat Diraja Brunei, Berakas Garison.

Hadir selaku Tetamu Kehormat ialah Brigedier Jeneral Dato Seri Pahlawan Haji Yussof bin Haji Abd Rahman, Pemerintah Tentera Darat Diraja Brunei.

Turut hadir ialah Laksmana Pertama Dato Seri Pahlawan Haji Abd Aziz bin Haji Mohd Tamit, Pemerintah Markas Angkatan Bersama (MAB) ABDB, Pegawai-Pegawai Kanan Tentera Darat dan wakil Pengarah Logistik, Kementerian Pertahanan.

Upacara Pebarisan dimulakan dengan penyampaian plaque Kenderaan Pasukan kepada Pegawai Pemerintah Log Depoh TDDB dan juga penyerahan bendera Skuadron Semboyan kepada Pegawai Pemerintah Kejuruteraan Darat TDDB. Upacara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah diikuti dengan Doa Selamat yang dibacakan oleh Pegawai Operasi JAMAAT ABDB.

Sejurus upacara perbarisan, semua anggota unit berkenaan berkumpul di Dewan Pahlawan bagi mendengar ucapan Pemerintah Tentera Darat Diraja Brunei.

Di dalam Ucapan Pemerintah Tentera Darat Diraja Brunei, beliau menekankan aspek disiplin ketenteraan dan undang-undang tentera mesti dipatuhi, keselamatan anggota yang dipimpin dan keselamatan dalam menjalankan tugas khususnya sebagai pemandu tentera. Disamping itu juga menekan untuk tidak mengambil langkah pendek yang tidak mengikut peraturan dan prosedur yang telah ditetapkan dan diakhir ucapan, tidak ada tempat di Tentera Darat Diraja Brunei bagi mereka yang melanggar undang-undang tentera dan awam, terutama sekali dalam penyalah gunaan dadah, meminum minuman yang memabukkan, berjudi, mencuri dan sebagainya.