بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيْم
اَلْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ اْلعَالَمِـيْنَ وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى سَيِّـدِنَا مُحَمَّـدِ أَشْرَفِ اْلأَنْبِـيَاءِ
وَالْمُرْسَلِـيْنَ وَعَلَى ءَالِهِ وَصَحْـبِهِ أَجْـمَعِيْنَ
Alhamdulillah, segala puji dan syukur ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta’ala, yang telah memayungi kita semua dengan nikmat pemeliharaan serta inayahNya dan dengan limpah rahmat-Nya jua, kita berada di bulan rahmat, penuh maghfirah, bulan Ramadhan 1443 Hijrah. Selawat serta salam ke atas Rasul pilihan Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wassalam, kaum kerabat dan para sahabat serta pengikut-pengikut Baginda yang setia lagi jujur hingga ke akhir zaman.
“Marhaban Ya Ramadhan”, nikmat kegembiraan kita semua rasakan kerana diberikan kesempatan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala memasuki bulan Ramadhan sebagai anugerah istimewa kepada umat Islam yang memberikan peluang untuk meraih pahala yang berlipat ganda melalui amal ibadah khusus yang kita kerjakan dan amalkan di dalamnya.
Kita amat mengharapkan ketibaan Bulan Ramadhan khususnya pada tahun ini akan menjadikan kita selaku umat Islam yang terus berusaha dalam merebut peluang memusahabah diri dan berusaha mengembalikan kita kepada fitrah zahir dan batin, bersih dari segala noda dan dosa serta mendapat keampunan dari Allah Subhanahu wa Ta’ala yang Maha Penerima Taubat hamba-hambaNya.
Kita sedar dalam keadaan berwaspada terhadap penularan wabak COVID-19, ianya bukanlah penghalang bagi kita melakukan ibadah khususnya dalam lingkungan keluarga dan jemaah, malah jadikan ianya sebagai penguat tekad serta azam kita dalam mengharungi bulan Ramadhan dengan semangat jihad melawan hawa nafsu dan kekuatan hati walau dipandu dengan peraturan-peraturan tertentu namun kita akan tetap kita gagahi berjuang mengisi hari-hari Ramadhan ini dengan amal ibadah, amal kebajikan dan amal taqwa serta berdoa kepadaNya agar kemanisan beribadat itu dapat kita rasakan sehingga kepenghujungnya, dan natijah keberkatan amal soleh di bulan Ramadhan ini, amat kita idamkan akan kekal berlanjutan dan dapat diamalkan sepanjang hayat sekalipun diluar Ramadhan.
Akhir kalam, Peramba/Saya ingin mengucapkan Selamat Menunaikan Ibadah Fardhu Puasa Ramadhan dan ibadah-ibadah lainnya kepada seluruh warga Kementerian Pertahanan dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei beserta keluarga di manapun mereka berada, seraya menadah tangan memanjatkan doa:
اَللّٰهُمَّ سَلِّمنَا لِرَمَضَانَ، وَسَلِّمْ رَمَضَانَ لَنَا، وَسَلِّمهُ لَنَا مُتَقَبَّلاً
(Ya Allah berilah keselamatan kepada kami untuk (menghadapi) Ramadhan, Berilah kesejahteraan Ramadhan untuk kami dan terimlah Ibadah Ramadhan dari kami)
Aamiin ya Rabbal Alamiin
وَبِاللهِ التَّوْفِيْقُ وَالْهِدَايَةَ، وَالسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ