
ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَالَمِينَ، وَبِهِ نَسۡتَعِينُ عَلَىٰۤ أُمُورِ ٱلدُّنۡيَا وَٱلدِّينِ
وَٱلصَّلَاةُ وَٱلسَّلَامُ عَلَىٰۤ أَشۡرَفِ ٱلۡمُرۡسَلِينَ، نَبِيِّنَا مُحَمَّدٍۢ صَلَّى ٱللَّهُ عَلَيۡهِ وَسَلَّمۡ
وَعَلَىٰۤ ءَالِهِۦ وَأَصۡحَابِهِۦ وَٱلتَّابِعِينَ وَمَن تَبِعَهُمۡ بِـإِحۡسَانٍ إِلَىٰ يَوۡمِ ٱلدِّينِ، وَبَعۡدُ
Segala puji dan syukur kita panjatkan ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala di atas limpah dan kurniaNya jua kita dipertemukan lagi dengan bulan Ramadhan bulan yang penuh keberkahan dan keampunan ini. Selawat dan salam ke atas Rasul junjungan kita Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wassalam, kaum kerabat, para sahabat serta pengikut-pengikut Baginda yang setia lagi jujur hingga ke akhir zaman.
Alhamdulillah bulan Ramadhan yang dinanti-nantikan oleh seluruh umat Islam, kini telah tiba, bulan yang penuh dengan peristiwa agung mengandungi banyak rahsia dan ganjaran pahala yang berlipat ganda dijanjikan dari amalan dilakukan di dalamnya. Sesungguhnya dibulan Ramadhan tersirat hikmah untuk kita berpeluang meningkatkan lagi munajat dengan segala pengorbanan dan kesabaran demi meraih rahmat serta redha Allah Subhanahu Wa Ta’ala jua.
Oleh itu, dalam bulan Ramadhan Mubarak ini marilah kita sama-sama menyucikan diri dan meraih ketakwaan sepertimana yang telah Allah Subhanahu Wa Ta’ala perintahkan kepada hamba-hambaNya, dengan memohon keampunan dan memperbanyakkan zikir serta melazimkan amalan-amalan sunnah seperti jua yang dianjurkan oleh Baginda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam. Malahan mengembalikan diri kita kepada fitrah manusia mengikut Syiar Islam dan usaha penyucian diri yang harus kita laksanakan, dengan berfitrah yang menjadikan seseorang manusia sentiasa memperbaiki diri daripada sudut zahir dan batinnya berdasarkan amalan amar ma’ruf nahi mungkar, iaitu melakukan perbuatan yang baik dan menjauhi perbuatan yang diingkari.
Sayugia, marilah kita sama-sama berazam dan membulatkan tekad untuk mengukuhkan keimanan dan ketakwaan serta mencari keredhaan Allah Subhanahu Wa Ta’ala, di bulan yang penuh kesucian, rahmat dan magfirah ini. Kita bertekad untuk melaksanakan tugas dan pekerjaan seharian dengan penuh integriti dan kejujuran, semoga ia menjadi sumber ganjaran dan menjadi amal jariah terus mengalir hingga akhirat kelak. Dengan semangat Ramadhan ini kita dapat merebut peluang berharga yang menjadi landasan dalam membentuk shakhsiah diri yang terpuji dan diredhai dalam menjalani kehidupan seharian dan juga memikul amanah.
Peramba / saya yakin dalam konteks penghayatan keagungan Ramadhan di dalam Kementerian Pertahanan melalui pendekatan Ihya dan Jangkauan Ramadhan yang diterajui oleh Jabatanarah Agama Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (JAMA’AT) yang sudah kita amalkan sejak beberapa tahun kebelakangan akan terus menyuntik semangat dan keyakinan dalam memanfaatkan keberadaan kita di bulan agung dan suci ini.
Kita bersama memohon kehadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala semoga kita semua tergolong dalam kalangan hambaNya yang dikurniakan nikmat dan kebijaksanaan yang sentiasa saling berpesan dan ingat-mengingati untuk melakukan amalan-amalan soleh, sepertimana firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala di dalam Surah Al – ‘Ashr, ayat 1 hingga 3:
وَٱلۡعَصۡرِ (١) إِنَّ ٱلۡإِنسَـٰنَ لَفِى خُسۡرٍ (٢)
إِلَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ وَتَوَاصَوۡاْ بِٱلۡحَقِّ وَتَوَاصَوۡاْ بِٱلصَّبۡرِ (٣)
Tafsirannya kira-kira bermaksud:
“Demi Masa. (1) Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian (2) Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amalan-amalan salih, dan saling berpesan untuk mengikut yang haq serta saling berpesan untuk bersabar. (3)”
Akhir kalam, Peramba/Saya ingin mengucapkan Selamat Menjalankan Ibadah Fardhu Puasa Ramadhan amalan-amalan di dalamnya kepada seluruh warga Kementerian Pertahanan berserta keluarga di mana jua mereka berada, seraya menadah tangan memanjatkan doa kehadrat Allah Subhanahu Wa’Tala:
ٱللَّهُمَّ سَلِّمنَا لِرَمَضَانَ، وَسَلِّمۡ رَمَضَانَ لَنَا، وَسَلِّمهُ لَنَا مُتَقَبَّلًا
“Ya Allah berilah keselamatan kepadaku untuk (menghadapi) Ramadhan, berilah kesejahteraan Ramadhan untukku dan terimalah Ibadah Ramadhan dariku”
Aamiin ya Rabbal Alamiin.