
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيْم
اَلْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ اْلعَالَمِـيْنَ وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى سَيِّـدِنَا مُحَمَّـدِ أَشْرَفِ اْلأَنْبِـيَاءِ
وَالْمُرْسَلِـيْنَ وَعَلَى ءَالِهِ وَصَحْـبِهِ أَجْـمَعِيْ

Alhamdulillah, Segala puji-pujian dan syukur ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta’ala yang telah memayungi kita semua dengan nikmat dan rahmat pemeliharaaan serta inayah-Nya, kita seluruh umat Islam berjaya menyempurnakan ibadah Fardhu Puasa di Bulan Ramadhan Al-Mubarak dan kini merayakan Hari Raya Aidil Fitri.
Hari Raya Aidil Fitri yang kita raikan adalah manifestasi kesyukuran diatas kemenangan umat Islam memerangi cabaran-cabaran dengan penuh ketaqwaan, tabah, sabar dan istiqomah yang diisi dengan amal ibadah, amal kebajikan dengan mengharapkan keberkatan dan pahala yang berlipat ganda serta pengampunan daripada Allah Subhanahu wa Ta’ala.
Dengan rahmat dan petunjuk Allah Subhanahu wa Ta’ala jua, serta berkat daulat dan kepimpinan bijaksana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, kita sekali lagi diberikan rahmat rezeki dan suasana merasakan kegembiraan dan kemanisan kemenangan yang kita syukuri dengan laungan gema takbir Hari Raya yang mulia dalam suasana norma baharu selepas tiga (3) tahun mengharungi keterbatasan pandemik dengan penuh tasamuh.
Hari Raya Aidil Fitri disuasana norma baharu pada tahun ini, kita berpeluang untuk meraikannya dengan penuh saadah daripada tahun-tahun sebelumnya. Kita diberikan rahmat dapat mengunjungi keluarga, sanak saudara, dan sahabat handai termasuk keluarga yang jauh di perantauan untuk menyemarakkan dan mengeratkan lagi ikatan silaturrahim dan persaudaraan. Namun begitu, dalam suasana keriangan menyambut hari kemenangan ini dan penularan wabak COVID-19 masih ada, kita perlu terus mematuhi dan sentiasa mengamalkan langkah-langkah yang wajar bagi memastikan keluarga kita selamat dan Hari Raya yang diraihkan ini dapat dinikmati dengan penuh keriangan.
Dalam kesempatan ini, saya berserta keluarga sukacita mengucapkan Selamat Menyambut dan Meraikan Hari Raya Aidil Fitri 1444 Hijrah /2023 Masihi, Maaf Zahir dan Batin kepada seluruh warga Kementerian Pertahanan dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei berserta keluarga dan tidak ketinggalan jua kepada pegawai-pegawai dan anggota-anggota yang bertugas dan menjalani kursus di luar negara. Semoga bulan Syawal bulan kemenangan ini akan mengukuhkan lagi perpaduan ummah, ikatan silaturrahim dan ukhuwah persaudaraan dan persahabatan sesama kita.
Akhir sekali, sama-samalah kita berdoa semoga Allah Subhanahu wa Ta’ala menerima segala amalan-amalan kita di Bulan Ramadhan dan mengurniakan kita semua dengan nikmat afiah dan kesejahteraan, dilimpahi rahmat berterusan dan diberikan kesempatan untuk dipertemukan lagi dengan Ramadhan dan Syawal yang akan datang. Amin Ya Rabbal Alamin.
وبالله التوفيق والهداية والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته