BERAKAS GARISON, Rabu 12 November 2014 – Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB) telah memperolehi kutipan mata sebanyak 18 emas, 12 perak dan 2 gangsa sekaligus menjuarai kejohanan Olahraga dan Tarik Kalat peringkat Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) bagi Tahun 2014. Kejohanan tersebut berlangsung di Mini Stadium Berakas Garison.

Naib Juara disandang oleh Institut Latihan ABDB dengan memperolehi  1 emas, 1 perak dan 4 gangsa. Manakala tempat ketiga diraih oleh Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB) dengan mengutip 1 emas dan 4 gangsa.

Pasukan TDDB juga memenangi kejohanan tarik kalat menggunakan sistem “Double Knock Out” dan menewaskan Pasukan TLDB ke tempat kedua. Sementara Pasukan Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB) di tempat ketiga.

Kejohanan juga dimeriahkan dengan acara jemputan yang terdiri daripada Pasukan ABDB ‘A’, Pasukan ABDB ‘B’, Pasukan dari Majlis Sukan Polis Diraja Brunei (MS PDB), Pasukan Penjara dan Pasukan dari Sekolah Sukan. Acara jemputan ini dimenangi oleh Pasukan ABDB ‘A’. Naib Johan adalah Pasukan MS PDB dan tempat ketiga dimenangi oleh Pasukan Jabatan Penjara.

Penyampaian hadiah disempurnakan  oleh Tetamu Kehormat kejohanan Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih bin Abdullah, Pemerintah ABDB.

5 buah pasukan telah ikut serta dalam kejohanan olahraga dan tarik kalat ini iaitu Pasukan Kementerian Pertahanan, Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB), Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB), Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB) dan Institut Latihan, ABDB (IL ABDB) dan pasukan jemputan daripada Jabatan Penjara, MS PDB, Sekolah Sukan dan Kementerian Pendidikan. Sebanyak 22 acara padang dan belapan dipertandingkan pada tahun ini.