MENTIRI, Khamis 12 Dis 2013 – Perlawanan Merintis tahunan peringkat Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), telah diadakan pada 12 Disember 2013 bertempat di Kawasan Riadah Mendaki Bukit Kampong Mentiri.

Perlawanan Merintis ini diadakan ialah bertujuan untuk menguji kemahiran anggota membaca peta dengan mendapatkan ‘check points’ tertinggi dalam jangka masa yang ditetapkan serta menguji ketahanan fizikal anggota.

Perlawanan pada tahun ini disertai oleh Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB), Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB), Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB), Institut Latihan ABDB (IL ABDB), Kementerian Pertahanan (KEMENTAH) dan Rejimen Pasukan Khas (RPK). Seramai 81 Pegawai dan 182 dari lain-lain peringkat telah turut serta dalam dua acara utama yang dipertandingkan, iaitu acara berpasukan dan acara individu.

Pasukan TDDB telah berjaya menjuarai Perlawanan Merintis peringkat ABDB pada tahun ini dan di tempat kedua dimenangi oleh Pasukan TLDB manakala Pasukan TUDB di tempat ketiga. Manakala pemenang bagi kategori umur 40 tahun ke atas dimenangi oleh 10358 Sjn Mahmod (TDDB), bagi kategori umur 35 hingga 39 tahun dimenangi oleh 12128 Sjn Kifley (TDDB) dan bagi kategori umur 29 ke bawah dimenangi oleh 16790 LKpl Haji Abd Rahman (TDDB).

Hadir bagi menyampaikan hadiah kepada pemenang-pemenang dan juga selaku tetamu kehormat bagi acara tersebut ialah Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin, Pemerintah ABDB. Juga turut hadir di acara tersebut ialah Pemerintah-Pemerintah Angkatan Tentera, Komandan IL ABDB, Pengarah-Pengarah, Pegawai-Pegawai Kanan ABDB dan anggota ABDB.