AKADEMI PERTAHANAN, Khamis 24 Mac 2016 – Taklimat Inisiatif bagi mengurangkan penggunaan tenaga elektrik di bangunan Kementerian Pertahanan dan Perkhemahan-Perkhemahan ABDB telah diadakan pada pagi ini di Dewan Teater, Akademi Pertahanan, Kampong Tanah Jambu.

Hadir selaku tetamu kehormat pada taklimat berkenaan ialah Datin Paduka Hajah Suriyah binti Haji Umar, Setiausaha Tetap, Kementerian Pertahanan. Turut hadir ialah Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar Pertahanan dan Pembangunan), Pegawai-Pegawai Kanan ABDB dan juga awam.

Tujuan taklimat diadakan untuk menerangkan dan berkongsi pengetahuan mengenai dengan inisiatif dan perlaksanaan kaedah penjimatan tenaga di semua bangunan-bangunan kerajaan sebagai langkah penggurangan perbelanjaan kos utiliti Kerajaan yang mana fungsi utamanya adalah untuk menggurangkan penggunaan tenaga elektrik sebanyak 20 peratus iaitu perbelanjaan sekitar B$17 juta setahun.

Taklimat berkenaan telah disampaikan oleh Awang Abdul Salam bin Abdul Wahab, Ketua Bahagian Sustainable Energy, Jabatan Tenaga dan Perindustrian, Jabatan Perdana Menteri.

Sebagaimana yang telah dimandatkan oleh Komiti Eksekutif Pertahanan (DEC), Jabatanarah Pembangunan dan Perkhidmatan Kerja telah berperanan selaku focal point untuk berkoordinasi dengan Jabatan Tenaga dan Perindustrian, Jabatan Perdana Menteri dalam perlaksanaan dasar penggurangan dan pemantauan penggunaan tenaga elektrik bagi bangunan-bangunan di Kementerian Pertahanan dan Perkhemahan-Perkhemahan ABDB. Ini adalah bertepatan dengan strategi Jabatanarah dalam meningkatkan kesedaran kearah peluang penjimatan tenaga dan mematuhi sebarang dasar serta garispandu yang ada. Manakala bagi mendukung Jawatankuasa Pandu Penjimatan dan Kecekapan Tenaga Kebangsaan (National Energy Efficiency and Conservation Steering Committee), perancangan Jabatanarah adalah dengan membuat pemantauan keatas perlaksanaan dan keberkesanan penggurangan penggunaan tenaga elektrik berkenaan.