BEIRUT LUBNAN, Rabu 31 Julai 2013 –Timbalan Pemerintah Markas Angkatan Bersama Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (MAB ABDB), Kolonel (U) Haji Hamsani Bin Haji Abd Hamid berserta rombongan, telah membuat satu Lawatan Kerja selama tiga hari ke MALAYSIAN BATTALION 5 (MALBATT 5) dalam misi United Nations Interim Force in Lebanon (UNIFIL).
Antara tujuan utama lawatan tersebut adalah untuk menyerahkan buah kurma kurnia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan kueh Hari Raya Aidilfitri sumbangan Badan Kebajikan Isteri-isteri ABDB (BAKTI) bagi pihak Pemerintah ABDB kepada anggota-anggota ABDB yang bertugas dalam misi tersebut.
Timbalan Pemerintah Markas Angkatan Bersama juga telah berkesempatan membuat kunjungan hormat kepada Pemerintah MALBATT 5, Kolonel Zainal Abidin bin Md Said di Markas MALBATT 5, Kem Tibnin, Lubnan. Semasa lawatan tersebut, delegasi Negara Brunei Darussalam telah diberi taklimat tentang misi dan tugas-tugas anggota MALBATT 5 berserta dengan pencapaian dan cabaran yang dihadapi selama bertugas 9 bulan di Lubnan.
Penyerahan buah kurma kurnia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan sumbangan kueh-kueh Hari Raya Aidilfitri daripada BAKTI telah disempurnakan di Kem Tibnin, Kem Hariss, Kem Barashit dan Kem Marakah yang menempatkan anggota-anggota ABDB. Delegasi Negara Brunei juga telah membuat lawatan dan tinjuan dekat kepada kem-kem tersebut.
Disamping menimba pengetahuan dan pengalaman mengenai dengan misi UNIFIL, Lawatan Kerja ini telah dapat memberikan semangat dan moral kepada anggota-anggota ABDB yang bertugas jauh daripada keluarga lebih-lebih lagi dengan menjelangnya Hari Raya Aidilfitri untuk terus bertugas dengan cemerlang demi menaikkan nama baik ABDB khasnya dan Brunei Darussalam amnya.

