KUALA LUMPUR, MALAYSIA  Jumaat, 19 Disember 2014 – Delegasi seramai 30 orang daripada Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) yang terdiri daripada Pegawai-Pegawai Kanan dan Pegawai ABDB berserta isteri-isteri menghadiri Sukan Muhibah di antara Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Rombongan ABDB diketuai oleh Pemerintah ABDB, Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Dato Paduka Seri Mohammad Tawih bin Abdullah berada di Malaysia bermula 19 Disember hingga 21 Disember 2014.

Melalui program Sukan Muhibah ini, pelbagai acara telah dilaksanakan seperti Majlis Resepsi ABDB dan ATM, Majlis Ramah Mesra BAKTI ABDB & BAKAT ATM, Acara Golf dan Acara Bowling.  

Kejohanan golf persahabatan di adakan di Palm Garden Golf Club di antara pasukan ABDB dan ATM. Pasukan ABDB di ketuai oleh Pemerintah ABDB manakala pasukan ATM diketuai oleh Panglima ATM, Yang Berbahagia Jeneral Dato Paduka Seri Tan Sri Dato’ Sri Zulkefli bin Mohd Zin.  

Manakala acara kejohanan bowling persahabatan telah diadakan di Tropicana Golf & Country Club di antara Badan Kebajikan Isteri-Isteri Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (BAKTI) dan Badan Amal Kebajikan Angkatan Tentera Malaysia (BAKAT)

Program yang diadakan setiap tahun ini bertujuan untuk meningkatkan lagi kerjasama dan interaksi sosial di antara Pegawai-Pegawai Kanan kedua-dua angkatan tentera berserta persatuan isteri-isteri iaitu BAKTI (ABDB) dan BAKAT (ATM) dan dikendalikan secara bergilir-gilir.