SPEECHES
2026, January - Teks Ucapan YB Menteri di JPM dan MPII Sempena Tahun Baharu Masihi 2026
UCAPAN
YANG BERHORMAT
PEHIN DATU LAILARAJA MEJAR JENERAL (BERSARA)
DATO PADUKA SERI AWANG HAJI HALBI BIN HAJI MOHD YUSSOF
MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI DAN
MENTERI PERTAHANAN II
SEMPENA TAHUN BAHARU MASIHI 2026
اَلسَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ
اَلْحَمْدُ للهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ، وَالصَّلَاةُ وَالسَّلَامُ عَلَى أَشْرَفِ الْأَنْبِيَاءِ وَالْمُرْسَلِيْنَ
سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ، وَبَعْدُ
dan Salam Sejahtera.
Alhamdulillah, puji dan syukur dipanjatkan kehadrat Allah Subḥānahu wa Ta‘ālā atas limpah kurnia dan rahmat-Nya, kita dikurniakan nafas dan kesempatan untuk melangkah ke lembaran baharu Tahun Masihi 2026, selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muḥammad ﷺ, ahli keluarga Baginda, para sahabat, serta para pengikut Baginda yang setia lagi istiqamah dalam meneruskan risalah hingga ke akhir zaman.
Peramba/saya mewakili ahli Jawatankuasa Eksekutif Pertahanan menyampaikan ucapan Selamat Menyambut Tahun Baharu Masihi 2026 kepada seluruh warga Kementerian Pertahanan – awam dan tentera – yang setia memikul amanah mempertahankan kedaulatan, keselamatan dan kesejahteraan Raja dan Negara Brunei Darussalam. Bertekad tahun baharu ini memperteguh istiqamah pengabdian, memperkukuh profesionalisme, serta meningkatkan mutu perkhidmatan demi kepentingan negara dan rakyat.
Dalam kesempatan yang bermakna ini, marilah kita memperkukuhkan ikrar taat setia yang tidak berbelah bahagi ke hadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu‘izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Sa‘adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, dengan iringan doa semoga Baginda terus dikurniakan Allah Subḥānahu wa Ta‘ālā nikmat taufiq, hidayah, afiyah, inayah dan kekal qarar memerintah Negara Brunei Darussalam dan negara terus membangun dengan aman, makmur dan mencapai Wawasan Brunei 2035.
Kementerian Pertahanan dengan penuh hormat serta takzim menyembahkan sembah menjunjung kasih setinggi-tingginya di atas Titah Perutusan Tahun Baharu 2026 Masihi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam. Kementerian Pertahanan seterusnya menjunjung dan menanai titah Baginda, khususnya dalam kita semua mensyukuri keadaan negara yang istimewa, warisan ugama dan budaya yang kukuh serta semangat perpaduan mempertahankan kedaulatan negara tercinta.
Tarikh 1 Januari bukan sekadar menandakan permulaan tahun baharu, bahkan merupakan tarikh penubuhan Kementerian Pertahanan pada 1 Januari 1984, menjadikan tahun 2026 sebagai tahun ke-42 kewujudan kementerian ini sebagai institusi teras pertahanan negara. Amanah ini menuntut kesetiaan, disiplin dan kebijaksanaan yang berterusan. Alhamdulillah, Negara Brunei Darussalam terus menikmati keamanan dan kestabilan yang menjadi prasyarat utama pembangunan negara – nikmat yang dipelihara melalui kesiapsiagaan, pengorbanan dan perpaduan seluruh warga pertahanan.
Sepanjang tahun 2025, Kementerian Pertahanan khususnya Angkatan Bersenjata Diraja Brunei Darussalam (ABDB) telah mencatat pencapaian yang signifikan hasil perpaduan usaha, kepimpinan yang berwibawa dan iltizam kolektif seluruh warga. Keutamaan strategik telah diperhalus, tadbir urus prestasi diperkukuh melalui penilaian berasaskan Key Performance Indicators (KPI), dan fokus berterusan diberikan kepada impak sebenar terhadap kesiapsiagaan negara. Jika 2025 merupakan fasa pengukuhan asas bahtera pertahanan, maka 2026 menandakan peralihan tegas kepada fasa pelaksanaan pemodenan yang lebih tangkas, terarah dan berasaskan keyakinan strategik yang rasional serta teruji. Sehubungan dengan itu, adalah menjadi harapan agar Kementerian Pertahanan dan ABDB khususnya dapat merealisasikan segala perancangan strategik yang telah digariskan bagi tahun 2026 sebagai mercu tanda pencapaian penting ke arah mendukung aspirasi Wawasan Brunei 2035.
Tahun 2026 membawa makna institusi yang besar apabila negara bakal menyambut Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ’Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ke-80, di samping ulang tahun penubuhan ABDB yang ke-65. Kedua-dua peristiwa ini mencerminkan kesinambungan kepimpinan berdaulat dan kematangan institusi pertahanan negara. Dalam landasan yang sama, tahun ini juga menjadi fasa awal persiapan strategik ke arah Sambutan Jubli Intan 60 Tahun Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta pada tahun 2027, yang menuntut penyelarasan rapi merangkumi aspek operasi, perkhidmatan dan logistik sebagai lambang kesetiaan yang beradab dan dikenang hingga ke akhir zaman.
Lipatan sejarah tahun lalu merakamkan detik gemilang bagi institusi pertahanan negara apabila Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam seterusnya berkenan mengurniakan pangkat Leftenan Kolonel (Udara) kepada Paduka Anakanda Baginda, Duli Yang Teramat Mulia Mejar (Udara) Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen. Pengurniaan ini bukan sahaja memperkukuh imej dan martabat ABDB, malah menjadi manifestasi kepimpinan dan disiplin tinggi yang wajar dijadikan teladan serta sumber inspirasi dalam berbakti kepada Raja dan Negara.
Di peringkat antarabangsa, diplomasi pertahanan negara terus diperkasa melalui interaksi strategik dua hala dan pelbagai hala, serta penglibatan aktif dalam platform ASEAN. Keberkesanan pelaksanaan pendekatan Whole-of-Government dalam misi bantuan kemanusiaan dan kesiapsiagaan bencana seperti di Myanmar, serta penyertaan aktif Negara Brunei Darussalam dalam misi pemerhati jelas membuktikan komitmen berprinsip terhadap keamanan dan kestabilan serantau.
Dalam aspek pemerkasaan modal insan, kita terus meletakkan pendidikan sebagai keutamaan strategik. Melalui kerjasama dengan Universiti Brunei Darussalam, garispandu Pendidikan Tentera Profesional (Professional Military Education – PME) telah diperkukuh, termasuk penaiktarafan kelulusan Command and Staff Course ke peringkat Ijazah Sarjana. Selain itu, penganjuran platform seperti East Asia Security Outlook (EASO) 2025 dan tema pilihannya mengangkat Pulau Borneo sebagai nadi perpaduan serantau, jelas memperkasakan ekosistem ilmu, kepimpinan, dan pemikiran strategik pertahanan kita. Dalam kerangka ini, warga pertahanan digalakkan untuk terus meningkatkan kemahiran dan memperluas pengalaman melalui latihan dan pendedahan yang bersistematik, berperingkat dan relevan dengan tuntutan persekitaran keselamatan semasa.
Melangkah ke tahun 2026, Kementerian Pertahanan akan terus memperteguh sinergi awam–tentera, memantapkan tadbir urus pertahanan, memperkukuh profesionalisme perkhidmatan, serta memacu pemodenan melalui perolehan strategik, pembangunan infrastruktur berdaya tahan dan penyelenggaraan aset berasaskan kebolehgunaan bagi memastikan kesiagaan operasi berada pada tahap optimum. Seiring kemajuan teknologi, termasuk Kecerdasan Buatan (AI), penekanan terhadap ketahanan mental, rohani dan etika perkhidmatan akan terus dipandu oleh prinsip Maqāṣid al-Sharī‘ah.
Dari sudut operasi, kesiapsiagaan akan terus diperkukuh melalui latihan bersepadu, peningkatan keupayaan Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR), serta pemerkasaan pasukan khas. Pembangunan Pasukan Khas Tier 2 dan hala tuju penubuhan Markas Operasi Khas (Special Operations Command – SOCOM) merupakan anjakan strategik utama bagi memastikan ABDB kekal tangkas dan responsif terhadap ancaman keselamatan moden. Bagi memastikan segala langkah ini kekal koheren dan strategik, Kertas Putih Pertahanan 2026 (Kemaskini) sedang diperincikan untuk di terbitkan sempena Hari Ulang Tahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei ke 65 sebagai panduan hala tuju pertahanan negara yang lebih berdaya tahan.
Namun, perlu kita tegaskan dalam arus transformasi dan kepesatan teknologi, kekuatan sejati pertahanan tidak terletak pada sistem semata-mata. Ia berakar umbi pada jati diri, iman yang teguh, disiplin yang tinggi, keberanian yang teruji dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi. Teknologi hanyalah pengganda keupayaan, namun manusia tetap menjadi penentu keberhasilan. Oleh itu, setiap langkah hendaklah sentiasa berpaksikan tadbir urus yang berintegriti serta prinsip Maqāṣid al-Sharī‘ah, demi menjunjung tinggi titah dan kebijaksanaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam memelihara kedaulatan, keselamatan dan kemaslahatan negara.
Akhir kata, peramba/saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga Kementerian Pertahanan – awam dan tentera – atas iltizam, pengorbanan dan kesetiaan yang tidak pernah pudar dan kendur. Penghargaan jua dizahirkan kepada mereka yang melangkah ke alam persaraan, serta doa buat warga yang telah kembali ke rahmatullah. Semoga segala sumbangan masa, tenaga dan fikiran diperhitungkan sebagai amal yang berlipat ganda di sisi Allah Subḥānahu wa Ta‘ālā.
Dengan bertawakal kepada-Nya, marilah kita berdoa agar Tahun Masihi 2026 membuka ufuk baharu yang lebih gemilang, lebih sejahtera dan lebih makmur bagi Negara Brunei Darussalam, serta mengurniakan kekuatan kepada kita selaku penjamin keselamatan untuk terus berbakti sebagai benteng pertahanan yang ampuh, berwibawa dan diyakini. Āmīn Yā Rabbal-‘Ālamīn.
Selamat Tahun Baharu Masihi 2026.
وَبِاللهِ التَّوْفِيْقُ والهِدَايَةُ وَ السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
2026, March 21st - Teks Ucapan YB Mentiri di JPM dan MPII Sempena Kedatangan Syawal 1447H/2026M
TEKS UCAPAN
YANG BERHORMAT
MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI
DAN MENTERI PERTAHANAN II
SEMPENA
KEDATANGAN SYAWAL 1447 HIJRAH / 2026 MASIHI
KEMENTERIAN PERTAHANAN
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
TEKS UCAPAN
YANG BERHORMAT MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI
DAN MENTERI PERTAHANAN II SEMPENA
KEDATANGAN SYAWAL 1447 HIJRAH / 2026 MASIHI
ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَالَمِينَ، وَٱلصَّلَاةُ وَٱلسَّلَامُ عَلَىٰۤ أَشۡرَفِ ٱلۡأَنۢبِيَاۤءِ وَٱلۡمُرۡسَلِينَ، نَبِيِّنَا وَحَبِيبِنَا مُحَمَّدٍۢ وَعَلَىٰۤ ءَالِهِۦ وَصَحۡبِهِۦۤ أَجۡمَعِينَ، وَمَن تَبِعَهُمۡ بِـإِحۡسَانٍ إِلَىٰ يَوۡمِ ٱلدِّينِ، أَمَّا بَعۡدُ
ٱللَّهُ أَڪۡبَرُ، ٱللَّهُ أَڪۡبَرُ، ٱللَّهُ أَڪۡبَرُ، ولِلَّهِ ٱلۡحَمۡدُ
Segala puji kita rafakkan ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta‘ala, Tuhan yang mentadbir segala urusan dengan hikmah yang sempurna, yang mempertemukan kita dengan Ramadan sebagai musim tarbiah dan daur penyucian, lalu mengurniakan Syawal sebagai lambang kemenangan dan keampunan. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ, pembawa rahmat dan cahaya petunjuk, serta ke atas keluarga dan para sahabat Baginda yang setia lagi jujur hingga ke akhir zaman.
Peralihan daripada Ramadan kepada Syawal bukan sekadar perubahan takwim, tetapi perpindahan maqam dan makna – daripada mujahadah kepada muraqabah, daripada disiplin lahiriah kepada kematangan rohaniah. Ramadan adalah madrasah kesabaran dan medan pentazkiaan; di situlah jiwa diasuh dengan tiga pelita kehidupan – sabar yang meneguhkan langkah ketika diuji, syukur yang merendahkan hati ketika diberi, dan taqwa yang memandu arah dalam terang mahupun gelita.
Maka pada datangnya Syawal, ia mengingatkan bahawa kemenangan sejati bukan pada gema kegembiraan yang zahir, tetapi pada cahaya batin yang terus menyala. Janganlah pelita yang dinyalakan oleh air mata taubat dan doa di sepertiga malam dipadamkan oleh kelalaian setelah berlalunya bulan rahmah, kerana istiqamah itulah mahkota kemenangan yang sebenar.
Dalam menggalas tanggungjawab mempertahankan kedaulatan negara, kekuatan pertahanan bukan semata-mata pada kelengkapan zahir, tetapi pada keteguhan batin yang memandu keputusan dan tindakan. Sabar menjadi benteng ketika tekanan memuncak; syukur memelihara hati daripada keangkuhan; dan taqwa menjadi mizan yang menimbang setiap langkah yang menyentuh keselamatan serta maruah bangsa. Tanpa jiwa yang terpimpin oleh nilai, persenjataan hanyalah angka; dan tanpa amanah yang dipelihara, kekuatan akan rapuh pada saat diuji.
Sehubungan dengan itu, kita bersyukur kerana di bawah naungan rahmat Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan berkat daulat serta kepimpinan bijaksana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, kita di negara ini menyambut Syawal dalam suasana aman dan makmur – suatu nikmat yang menuntut syukur yang sedar, khidmat yang tulus dan kesiapsiagaan yang berterusan sebagai ibadah kepada-Nya.
Dalam kemuliaan Syawal ini, sama-sama lah kita menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para perwira dan srikandi yang memikul amanah pertahanan negara, teguh di saf hadapan menjunjung maruah serta memelihara kedaulatan tanah air. Sama ada di pangkalan dan sempadan, di medan latihan dan pengajian, mahupun di perantauan dalam kerangka kerjasama serantau dan antarabangsa, setiap langkah mereka mencerminkan kesetiaan dan setiap pengorbanan membuktikan sumpah setia yang dijunjung dengan kehormatan. Sesungguhnya, inilah harga sebuah keamanan, ditegakkan dengan integriti dan dipelihara dengan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi.
Pada saat takbir bergema, marilah kita memperluas hamparan rahmah insaniyah kepada mereka yang diuji dengan kesempitan hidup, yang menyambut Aidilfitri dalam keterbatasan dan kesunyian. Sebagai sebuah institusi yang berteraskan nilai kehormatan dan kemanusiaan, kita dipanggil bukan sahaja untuk mempertahankan kedaulatan, bahkan untuk memelihara nilai belas ihsan dalam menyantuni masyarakat.
Dalam ruang tafakkur Syawal ini, kita juga menundukkan hati mengingati warga Kementerian Pertahanan yang telah kembali ke rahmatullah – insan-insan yang pernah memikul amanah dengan tulus dan menabur bakti demi keamanan negara. Semoga Allah Subhanahu wa Ta‘ala melimpahkan rahmat-Nya ke atas roh-roh mereka, mengampuni segala khilaf, melapangkan kubur mereka dan menjadikan jasa mereka sebagai amal jariah yang berpanjangan serta diganjari dengan kemuliaan di sisi-Nya.
Akhirnya, pada detik yang penuh makna ini, peramba/saya bersama isteri dan keluarga serta seluruh barisan kepimpinan Kementerian Pertahanan merakamkan ucapan setulusnya – Selamat Hari Raya Aidilfitri 1447 Hijrah / 2026 Masihi, Minal ‘Aidin wal-Faizin – kepada seluruh warga Kementerian Pertahanan di mana jua berada. Andai dalam amanah memimpin terdapat kekhilafan tutur atau kekurangan budi, dengan penuh rendah hati peramba/saya memohon kemaafan.
Sebagai penutup yang penuh tawaduk, marilah kita merendahkan hati dan menadah tangan ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta‘ala, memohon rahmat dan perlindungan-Nya, dikurniakan ketenangan dalam setiap ujian serta taufik dan hidayah dalam setiap amanah yang dipikul. Mudah-mudahan dengan izin-Nya, kita dipertemukan kembali dengan Ramadan yang akan datang dalam iman yang lebih teguh dan hati yang lebih bersih, dan disapa oleh Syawal dalam jiwa yang lebih tunduk dan pengabdian yang lebih sempurna.
Sekian dan Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Fitri 1447 H / 2026M
رَبَّنَا تَقَبَّلۡ مِنَّا إِنَّكَ أَنتَ ٱلسَّمِيعُ ٱلۡعَلِيمُ، وَتُبۡ عَلَيۡنَا إِنَّكَ أَنتَ ٱلتَّوَّابُ ٱلرَّحِيمُ،
ءَامِينَ يَا رَبَّ ٱلۡعَالَمِينَ
وبِٱللَّهِ ٱلتَّوۡفِيقُ وَٱلۡهِدَايَةُ، وَعَلَيۡهِ نَتَوَكَّلُ، وَٱلسَّلَامُ عَلَيۡكُمۡ وَرَحۡمَةُ ٱللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ
2026, February 19th - Ucapan YB Menteri di JPM & MP II, Sempena Ramadhan 1447H 2026M
TEKS UCAPAN
YANG BERHORMAT MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI DAN MENTERI PERTAHANAN II
SEMPENA MENYAMBUT BULAN RAMADAN
TAHUN 1447H/2026M
اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي شَرَعَ لَنَا الصِّيَامَ تَزْكِيَةً لِلنُّفُوسِ وَتَهْذِيبًا لِلْأَخْلَاقِ، وَجَعَلَهُ سَبِيلًا إِلَىٰ التَّقْوَىٰ،
وَٱلصَّلَاةُ وَٱلسَّلَامُ عَلَىٰۤ أَشۡرَفِ ٱلۡمُرۡسَلِينَ، نَبِيِّنَا مُحَمَّدٍۢ صَلَّى ٱللَّهُ عَلَيۡهِ وَسَلَّمۡ
وَعَلَىٰۤ ءَالِهِۦ وَأَصۡحَابِهِۦ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَىٰ يَوْمِ الدِّينِ، أَمَّا بَعْدُ
Alhamdulillāh, segala puji dan syukur peramba/saya panjatkan ke hadrat Allah Subḥānahu wa Ta‘ālā, Tuhan Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Dengan izin dan limpah rahmat-Nya jua, kita sekali lagi dipertemukan dengan Syahrul Mubārak, bulan Ramadan al-Mubārak — sebuah madrasah rohani yang hadir untuk menyuci jiwa, memperhalusi akhlak dan memperkukuh kembali nawaitu dalam memikul Amanah setelah kita melalui bulan Rejab dan Syaaban, bulan-bulan persiapan menemui Ramadan. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad ﷺ, ke atas ahli keluarga Baginda serta para sahabat Baginda yang setia, sebagai ikutan dan pedoman hingga ke akhir zaman.
Kehadiran bulan Ramadan 1447 Hijrah merupakan suatu anugerah Ilahi yang sarat dengan hikmah dan ibrah. Ia bukan sahaja membentuk peribadi insan, bahkan memperkukuh adab, amanah dan keluhuran perjalanan organisasi secara keseluruhannya. Bulan yang dipenuhi dengan limpahan rahmat, keampunan dan kasih sayang Allah Subḥānahu wa Ta‘ālā ini menjadi medan mujahadah serta ruang penyucian jiwa, tempat diperbaharui niat, diperhalusi amal dan diperkukuh keikhlasan dalam menuntut keredaan-Nya. Sesungguhnya, pertemuan dengan bulan yang mulia ini merupakan nikmat yang amat besar, kerana melaluinya mutu amal dan martabat kerja dapat dipertingkatkan, niat dalam melaksanakan amanah diperbetulkan, serta ikhtiar diperkemas demi mencapai kejayaan yang hakiki, di dunia dan di akhirat.
Sehubungan itu, peramba/saya membawa sekalian lapisan kepimpinan, Pegawai-pegawai dan anggota-anggota Kementerian Pertahanan tentera dan awam agar bersama-sama bermujahadah menuntut keredaan Allah Rabbul ‘Izzati. Di samping melaksanakan tugas dan menunaikan bakti dengan penuh amanah dan profesionalisme, marilah kita memperhalusi didikan jiwa dan menyucikan rohani agar sentiasa berada dalam lingkaran taqwa dan muraqabah kehadrat Allah Subḥānahu wa Ta‘ālā. Ibadah puasa mendidik kita menahan diri, membina disiplin dalaman, mengasuh kesabaran dan kejujuran — nilai-nilai teras yang memperkukuh tanggungjawab dalam setiap peranan yang dipikul. Sesungguhnya taqwa itulah asas segala kebajikan; daripadanyalah lahir keikhlasan niat, keteguhan jiwa dan keupayaan mengekang hawa nafsu dalam menghadapi segala ujian dengan hikmah dan istiqamah.
Berlandaskan semangat dan keberkatan bulan Al-Quran ini, pengisian rohani terus diperkasakan sebagai sebahagian daripada usaha berterusan membina ketahanan jiwa, memperkukuh disiplin diri dan mengekalkan keseimbangan rohani warga Kementerian Pertahanan. Sejajar dengan pelaksanaan pada tahun-tahun sebelumnya, Ihya Ramadan iaitu aktiviti-aktiviti keagamaan yang telah dirangka dan akan dipandu perlaksanaan nya oleh Jabatanarah Agama Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (JAMA’AT) secara tersusun dan berterusan mengikut tiga (03) fasa penghayatan bulan Ramadan merangkumi tadarus al-Qur’an, majlis-majlis ta‘līm dan pengisian ilmu, di samping pelaksanaan solat sunat Tarawih serta Qiyāmullail di surau-surau dan masjid-masjid di seluruh perkhemahan serta kawasan operasi.
Disiplin rohani yang dipupuk melalui ibadah-ibadah ini diharapkan menjadi teras kepada pembinaan kekuatan luaran dan dalaman peribadi, yang seterusnya diterjemahkan dalam peningkatan kualiti kerja, kewibawaan kepimpinan serta kecekapan perkhidmatan seharian. Dalam masa yang sama, Program Jangkauan Ramadan akan terus digerakkan sebagai wahana untuk mengukuhkan ukhuwwah, menyemai nilai ihsan dan memupuk semangat kebersamaan, selaras dengan peranan Kementerian Pertahanan dalam mempertahankan kedaulatan negara di samping menyantuni kesejahteraan ummah.
Justeru, marilah kita bersama-sama merebut peluang berharga ini untuk memperteguh disiplin diri dan memperhalusi amal ibadah, dengan menjadikan bulan Ramadan ini sebagai wasilah untuk lebih mendekatkan diri kepada Allah Subḥānahu wa Ta‘ālā. Ramadan mendidik kita membezakan antara keperluan dan kehendak, serta antara tanggungjawab duniawi dan tuntutan ukhrawi yang bersifat kekal dan abadi. Sebagaimana firman-Nya dalam Surah al-Insyirāḥ (ayat 5-8), yang kira-kira bermaksud, “bahawa setiap kesukaran itu disertai kemudahan, dan setelah menunaikan sesuatu amanah, hendaklah kita melanjutkan usaha dengan penuh pergantungan kepada Allah SWT”— hakikat yang menguatkan jiwa agar kita terus berusaha tanpa berputus asa.
Sebagai penutup kata, peramba/saya dengan tulus nya menyampaikan ucapan Selamat Menunaikan Ibadah Fardu Puasa dan amalan-amalan lain di Bulan Ramadan al-Mubārak kepada seluruh warga Kementerian Pertahanan, walau di mana jua mereka berada, berserta ahli keluarga masing-masing. Semoga madrasah Ramadan ini memperteguh iltizam, memperkaya nilai kepimpinan dan memantapkan jati diri kita sebagai hamba Allah yang bertaqwa. Mudah-mudahan Allah Subḥānahu wa Ta‘ālā mengurniakan nikmat dan rahmat kesihatan, kekuatan jasmani dan rohani serta keazaman yang teguh, agar dapat menunaikan ibadah dengan bersemangat dan sempurna. Semoga setiap ibadah yang dilaksanakan dengan penuh keikhlasan dan istiqamah diterima sebagai amal soleh yang diredai-Nya.
ٱللَّهُمَّ سَلِّمنَا لِرَمَضَانَ، وَسَلِّمۡ رَمَضَانَ لَنَا، وَتَسَلَّمْهُ لَنَا مُتَقَبَّلًا
“Ya Allah berilah keselamatan kepadaku untuk (menghadapi) Ramadan, berilah kesejahteraan Ramadan untukku dan terimalah Ibadah Ramadan dariku”
Aamiin ya Rabbal Alamiin.
وَبِاللهِ التَّوْفِيْقُ والهِدَايَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه
2025, March 5th - Ucapan YB Pehin, Sempena Ramadhan 1446H 2025M
Privacy Statement | Terms of Use | Disclaimer
Copyright Goverment of Brunei Darussalam. All Right Reserved.
