BERAKAS GARISON, Isnin 4 Nov 2013 – Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB) menyambut Hari Ulang Tahunnya yang ke-52 hari ini dengan mengadakan perbarisan perutusan Pemerintah Tentera Darat Diraja Brunei di Padang Kawad Batalion Pertama TDDB di Perkhemahan Berakas Garison.
Aturcara perbarisan dimulakan dengan Brigedier Jeneral Dato Seri Pahlawan Haji Yussof bin Haji Abdul Rahman menerima tabik hormat dan memeriksa perbarisan seterusnya memberikan Ucapan Perutusan di Padang Kawad Batalion Pertama TDDB.
Dalam ucapan perutusannya, Pemerintah TDDB menyembahkan setinggi-tinggi menjunjung kasih dan seterusnya melafazkan ikrar ta’at setia yang tidak berbelah bahagi Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Menteri Pertahanan dan Pemerintah Tertinggi Angkatan Bersenjata Diraja Brunei. Pemerintah TDDB menekankan bahawa Tentera Darat telah melalui satu perkembangan yang ketara sejajar dengan usianya yang mencapai genap 52 tahun. Namun demikian, beberapa faktor yang dikenal sebagai virus gejala sosial negatif seperti penyalahgunaan dadah, meminum minuman beralkohol, penyeludupan barang tegahan kastam, mencuri, berjudi, khalwat, berpura-pura sakit, bersubahat dalam kegiatan salah dan tidak hadir bertugas tanpa cuti. Disamping budaya kerja yang tidak sehat seperti tidak mengikut prosedur yang ditetapkan, atau mengambil cara singkat dan mudah dalam melaksanakan pekerjaan yang boleh saja mengundang kepada musibah, yang boleh mencederakan dan lebih teruk lagi boleh meragut nyawa anggota tentera dan orang lain. Faktor tersebut merupakan sebagai penghalang atas perkembangan tersebut disamping turut memberi impak negatif terhadap keberkesanan Tentera Darat.
Selain daripada itu, Pemerintah TDDB juga menekankan bahawa perkembangan keupayaan Tentera Darat Diraja Brunei adalah satu keutamaan, agar keberkesanan Tentera Darat akan sentiasa releven mengikut perubahan semasa. Antaranya adalah penambahan struktur Tentera Darat yang baru saja diperkenankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan pada sambutan Hari Ulang Tahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei ke 52 yang lepas. Teras utama struktur Tentera Darat dibahagikan kepada tiga komponen besar iaitu komponen Tempur, komponen Bantuan Kombat dan komponen Khidmat Bantuan Kombat. Dalam perkembangan tersebut, komponen tempur Tentera Darat diluaskan lagi dengan tertubuhnya Kompeni Kelima (Kompeni Echo) Batalion Pertama Tentera Darat Diraja Brunei. Penubuhan kompeni ini bermula pada hari Isnin, 4 November 2013, dan akan mula ditugaskan di Daerah Temburong bermula pada 1 Disember 2013 yang akan datang. Pada 3 September 2013 yang lepas, dua unit telah diserapkan masuk kedalam Tentera Darat Diraja Brunei, iaitu unit Skuadron Semboyan dan unit Kenderaan Angkatan Tentera Angkatan Bersenjata Diraja Brunei. Langkah awal tertubuhnya unit Khidmat Bantuan Kombat akan dilaratkan lagi dengan penyerapan unit-unit lain seperti unit Perubatan, Pergigian, Pancaragam, Polis Tentera dan Bomba mengikut fasa. Oleh yang demikian penubuhan Markas Khidmat Bantuan Kombat akan bermula pada hari Isnin, 4 November 2013.
Di akhir perutusan, Pemerintah TDDB mengucapkan selamat menyambut Hari Ulang Tahun Tentera Darat Diraja Brunei ke 52 kepada seluruh warga Tentera Darat Diraja Brunei, dan ini termasuklah kepada anggota yang sedang menjalankan tugas di Istana Nurul Iman, Qasr Al-Meezan, Perkhemahan Bangar, Pulau Baru-Baru, Operasi Rondaan dan mereka yang berkursus didalam dan diluar negeri. Disamping bagi setiap anggota TDDB yang bertugas sebagai Tim Pemantau Antarabangsa (IMT) di Mindanao Republik Filipina dan Pasukan Interim Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL).
Pada tahun ini acara sambutan HUT TDDB ke 52 adalah berlangsung secara serentak di Perkhemahanan Lumut, Perkhemahan Tutong, Perkhemahan Bangar dan Pulau Baru-Baru yangmana Perutusan Pemerintah TDDB disampaikan oleh Pegawai Pemerintah Unit-Unit dan perwakilan untuk disampaikan kepada anggota-anggota TDDB. Sebelum Sambutan Perbarisan Hari Ulang Tahun TDDB pada pagi, pelbagai aktiviti telah dilaksanakan dan disusun.
Antara acara yang telah dijalankan adalah Majlis Bertahlil di Kubah Makam Diraja pada hari Khamis, 31 Oct 2013 dan Majlis Doa Kesyukuran di Surau Berakas pada hari Ahad, 3 November 2013.


