RIMBA, Sabtu 31 Mei 2014 – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan merasmikan bangunan baru Kompleks Sukan Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB) sempena Sambutan Ulang Tahun ABDB ke 53 tahun. Bangunan Kompleks Sukan TUDB dibina pada Januari 2013 dan siap pada November 2014 bernilai B$6.6 juta.
Berangkat sama Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Jeneral Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan Ahli-Ahli Kerabat Diraja.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Duli dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Jeneral Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah serta Ahli-Ahli Kerabat Diraja seterusnya berkenan menerima Majlis Ramah Mesra bersama Pegawai-pegawai Tidak Bertauliah Rendah ABDB dengan bergambar ramai.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Duli Yang Teramat Mulia berkenan menerima pesambah yang disembahkan oleh Pegawai Tidak Bertauliah Rendah ABDB.
Kebawah Duli yang Maha Mulia berkenan menerima Replika Polo Stick sebagai pesambah. Sukan Polo adalah sukan yang memerlukan kemahiran di dalam menunggang kuda. Kegiatan berkuda adalah salah satu daripada aktiviti yang digalakkan di dalam ugama Islam yang mana ianya juga kegiatan yang digemari oleh Nabi Muhammad Sallahu Alaihi Wassalam. Pihak Ahli Jawatankuasa Korperal Kelab ABDB memilih replika Polo Stick sebagai pesambah memandangkan sukan Polo adalah salah satu sukan kegemaran Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam. Di samping itu, di atas replika Polo Stick tersebut telah pun dicetak 5 bintang dan nama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan sebagai tanda penghormatan dan taat setia yang tidak berbelah bahagi daripada Korperal Kelab kepada Pemerintah Tertinggi ABDB.
Sementara Duli Yang Teramat Mulia berkenan menerima Replika Snooker Cue sebagai pesambah. Sukan Snooker adalah sukan yang memerlukan kemahiran di dalam menilai, meneliti dan mengatur pergerakan bola. Ianya juga memerlukan kesabaran, kebijaksanaan dan kebolehan berfikir. Pihak Ahli Jawatankuasa Korperal Kelab ABDB memilih replika Snooker Cue sebagai pesambah memandangkan sukan Snooker adalah salah satu sukan kegemaran Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota. Di samping itu, di atas replika Snooker cue tersebut telah pun dicetak 4 bintang dan nama Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota sebagai tanda penghormatan yang tinggi kepada Jeneral Angkatan Bersenjata Diraja Brunei yang setia mengikuti jejak langkah Ayahanda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota selaku Khalifah Negara.
Sebelum meninggalkan Kompleks Sukan, Baginda dan Ahli-Ahli Kerabat Diraja berkenan untuk menerima Junjung Ziarah dari Pegawai-Pegawai Tidak Bertauliah Rendah ABDB dan menandatangani Lembaran Kenangan Keberangkatan.




