RIMBA, Sabtu 31 Mei 2014 – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Jeneral Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan Ahli-Ahli Kerabat Diraja berangkat bagi Majlis Santap Tengahari bersama Pegawai-pegawai Kementerian Pertahanan, ABDB dan mantan-mantan ABDB.

Majlis berlangsung di Pusat Pergerakan Udara atau Air Movement Centre (AMC), Pangkalan Tentera Udara Diraja Brunei.

Sejurus tiba di dewan santap, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dijunjung bagi Upacara Memotong Kek Hari Ulang Tahun ABDB. Kemudian Baginda dan Duli Yang Teramat Mulia berkenan menerima pesambah berupa Jaket Penerbangan. Jaket Penerbangan berwarna hitam disembahkan Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia, manakala Jaket Penerbangan bewarna cokelat terang disembahkan Kehadapan Majlis Duli Yang Teramat Mulia.

Sebelum Majlis Santap Tengahari bermula, Doa Selamat dibacakan oleh Penolong Ketua JAMA’AT, Kapten Ariffin bin Amit @ Hamid.

Sebelum berangkat meninggalkan Majlis, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Duli Yang Teramat Mulia berkenan menerima Junjung Ziarah dari Pegawai-Pegawai ABDB diikuti dengan menandatangani Lembaran Kenangan sebelum bergambar kenangan beserta Ahli-ahli Kerabat Diraja.