BOLKIAH GARISON, Khamis 30 Mei 2013 – Angkatan Bersenjata Diraja Brunei akan menyambut Hari Ulang Tahun ke 52 pada 31 Mei 2013 ini. Sambutan bagi acara kemuncak sempena Hari Ulang Tahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei ke 52 akan berlangsung pada Hari Sabtu, 1 Jun 2013 bertempat di Kementerian Pertahanan, Bolkiah Garison. Berbagai acara dan aktibiti akan diadakan dilokasi-lokasi berkenaan yang melibatkan anggota-anggota dan unit-unit dalam ABDB.
Sambutan ini akan diserikan lagi dengan keberangkatan rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ’Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Menteri Pertahanan dan Pemerintah Tertinggi Angkatan Bersenjata Diraja Brunei berserta Ahli-Ahli Kerabat Diraja.
Acara pada hari tersebut akan dimulakan dengan perbarisan raksasa yang akan berlangsung pada kira-kira jam 8.30 pagi. Semua pamiran statik, pertunjukan dan permainan akan dimulakan jam 10.00 pagi sehingga acara selesai iaitu pada kira-kira jam 5.00 petang.
Berikut disenaraikan beberapa maklumat yang sering ditanyakan oleh orang ramai :
1. Bila dan di manakah Sambutan Hari Ulang Tahun ABDB akan dikendalikan bagi tahun ini?
• Akan berlangsung selama sehari.
• Acara kemuncak Sambutan Hari Ulang Tahun ABDB pada tahun ini akan diadakan pada hari Sabtu, 1 jun 2013 di Bolkiah Garison.
2. Mengapa acara tersebut diadakan di Bolkiah Garison? Apakah tema Sambutan Hari Ulang Tahun ABDB pada tahun ini?
• Sambutan Hari Ulang Tahun ABDB dilaksanakan secara bergilir oleh unit-unit besar ABDB dan Kementerian Pertahanan. Pada tahun ini tiba giliran Kementerian Pertahanan pula untuk menjadi tuan rumah.
• Dalam masa yang sama Kementerian Pertahanan khususnya Bolkiah Garison juga pesat membangun beberapa tahun kebelakangan. Oleh yang demikian melalui sambutan ini orang ramai juga berpeluang menyaksikan sendiri pelbagai bentuk pembangunan tersebut.
• Seperti mana tahun lepas, tema pada tahun ini juga disejajarkan dengan tema Hari Kebangsaan iaitu “Mempertahankan Negaraku Brunei Darussalam”.
3. Apakah kelainan yang bakal ditampilkan pada sambutan tahun ini berbanding sambutan-sambutan yang lepas?
• Oleh sebab komitmen ABDB di peringkat negara, acara sambutan Hari Ulang Tahun ABDB pada tahun ini akan diadakan secara sederhana sahaja.
• Namun pengalaman serta manfaat yang akan diperolehi oleh para pengunjung semasa acara hari kemuncak itu nanti insya-Allah tetap akan sama.
• Malah ada beberapa perkara yang boleh menjadikan sambutan pada tahun ini menjadi bermakna, pertama disebabkan tempat ia dilaksanakan. Bolkiah Garison yang telah menjalani pembangunan yang pesat sejak beberapa tahun kebelakangan ini pastinya akan memberikan daya tarikan yang tersendiri, khususnya Muzium ABDB.
• Kedua, dalam masa yang sama pihak urus setia sambutan juga telah seberapa daya mempelbagaikan kegiatan yang boleh menimbulkan keseronokan kepada orang ramai yang datang berkunjung.
4. Apakah acara kemuncak yang bakal mengisikan sambutan itu nanti?
• Acara kemuncak pada hari Sabtu, 1 Jun 2013, ialah upacara Perbarisan Raksasa oleh unit-unit Tentera Darat Diraja Brunei, Tentera Laut Diraja Brunei, Tentera Udara Diraja Brunei, dan Institut Latihan ABDB termasuk Kementerian Pertahanan.
5. Apakah hiburan atau aktiviti yang akan dapat disaksikan oleh para pengunjung, khususnya yang datang bersama keluarga?
Di samping upacara perbarisan raksasa dan pameran statik orang ramai juga akan berpeluang untuk menyaksikan atau menyertai acara-acara seperti:
• Permainan seperti paintball, menunggang kuda, bouncer, frisbee/kite flying, memanah, perlawanan Nerf, flying fox, pameran reptilian, menembak senjata ringan, dan sebagainya.
• Muzium ABDB juga dibukakan untuk kunjungan orang ramai.
• Gerai-gerai jualan termasuk pondok makan dan minum ada disediakan untuk orang ramai berdekatan dengan kawasan pameran statik.
• Aktiviti-aktiviti ini diadakan bagi menambahkan lagi keseronokan kepada orang ramai yang datang berkunjung bersama keluarga masing-masing semasa sambutan. Dalam masa yang sama dapat pula berinteraksi dengan para warga ABDB.
6. Bagi orang ramai yang berhasrat untuk berkunjung ke acara sambutan ini, bila kah waktu-waktu sesuai untuk mereka berkunjung?
• Acara pada hari itu nanti akan dimulakan dengan Perbarisan Raksasa yang akan bermula jam 0800 pagi di Mini Stadium, Bolkiah Garison.
• Sebaik sahaja perbarisan selesai, secara bersamaan, acara-acara lain akan mengambil tempat kira-kira jam 10:00 pagi. Dengan demikian, orang ramai mempunyai pilihan sama ada untuk menyaksikan upacara perbarisan atau acara-acara selepas perbarisan. Untuk makluman bersama juga, semua kegiatan yang diadakan pada hari tersebut dijangka berakhir pada jam 5:30 petang.
7. Apakah arahan-arahan khusus mengenai tatacara pergerakan masuk yang perlu diambil maklum oleh orang ramai semasa berkunjung ke Bolkiah Garison pada hari kemuncak tersebut?
• Orang ramai adalah dinasihatkan untuk mendapatkan panduan atau bertanya kepada mana-mana anggota tentera yang bertugas pada hari tersebut.
• Pada sebelah pagi, oleh sebab kawasan perkhemahan yang terhad, orang ramai tidak dibenarkan masuk ke kawasan perkhemahan menggunakan kereta sendiri.
• Orang ramai dinasihatkan untuk menggunakan tempat-tempat letak kereta yang disediakan seterusnya masuk ke kawasan perkhemahan dengan menggunakan khidmat “shuttle bus”.
• Ini adalah bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas terutama di kawasan atau laluan sepanjang jalan menuju ke Bolkiah Garison nanti.
8. Di mana kah orang ramai boleh meletakkan kenderaan masing-masing semasa acara tersebut?
• Tempat-tempat letak kereta bagi orang ramai yang akan datang berkunjung ialah:
- Kawasan letak kereta di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, dan
- Kawasan letak kereta berdekatan dengan bangunan Kementerian Pendidikan.
• Dari sana orang ramai boleh menggunakan khidmat “shuttle bus” untuk memasuki Bolkiah Garison.
• Semasa di dalam perkhemahan, khidmat “choo choo train” juga disediakan untuk memudahkan orang ramai bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain.
• Dalam hubungan ini bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas, adalah dinasihatkan kepada orang ramai supaya tidak meletakkan kereta di tepi-tepi jalan sepanjang laluan menuju ke Bolkiah Garison.
9. Bagaimana orang ramai akan mengetahui di mana lokasi-lokasi pertunjukan statik dan maklumat mengenai aktiviti-aktiviti yang bakal berlansung pada hari tersebut?
• Satu flyer atau brosur kecil akan diagih-agihkan kepada orang ramai sebagai panduan. Papan-papan tanda dan kain rentang juga akan disediakan.
• Selain itu orang ramai juga boleh bertanya terus kepada mana-mana anggota tentera yang bertugas.
10. Adakah akan disediakan pondok-pondok makan dan minuman bagi orang ramai?
• Tempat-tempat rehat, pondok-pondok makan dan minuman juga ada disediakan di kawasan pameran statik, funfair dan bazaar.
11. Bagi orang ramai yang ingin mengunjungi acara ini, adakah ditetapkan waktu-waktu tertentu untuk berbuat demikian?
• Untuk makluman orang ramai, upacara Perbarisan Raksasa akan bermula seawal-awalnya jam 07:30 pagi manakala acara selebihnya termasuk pameran statik, gerai-gerai jualan, funfair dan bazaar serta kegiatan sampingan yang lainnya akan bermula selepas perbarisan raksasa kira-kira jam 10:00 pagi.
• Acara sambutan pada 1 Jun 2013 di Bolkiah Garison dijangka akan berakhir kira-kira 5:30 petang.
12. Siapakah boleh mengunjungi sambutan ini?
• Semua acara yang diaturkan adalah terbuka kepada orang ramai untuk menyaksikannya. Malah kehadiran orang ke acara sambutan ini adalah sangat-sangat dialukan.
13. Bagi mereka yang tidak pernah berkunjung ke Bolkiah Garison, bolehkah diterangkan laluan-laluan masuk dan keluar mana yang boleh digunakan untuk ke tempat sambutan tersebut?
• Ada dua pintu masuk utama menuju Bolkiah Garison iaitu melalui pintu masuk utama berhadapan yang dengan Kompleks Bangunan Kerajaan dan pintu masuk yang berhadapan dengan Stadium Negara Hassanal Bolkiah.
• Walau bagaimanapun, bagi mengelakkan kesesakan laluan di dalam kawasan perkhemahan, orang ramai tidak dibenarkan masuk ke kawasan perkhemahan menggunakan kereta sendiri.
14. Apakah harapan dan nasihat lanjut yang ingin disampaikan kepada orang ramai mengenai Sambutan Hari Ulang Tahun ini?
• Orang ramai adalah dialu-alukan untuk hadir bagi sama-sama memeriahkan Haring Ulang Tahun ABDB ke-52. Semoga dengan kunjungan itu nanti akan bertambah ceria lagi sambutan pada tahun ini.
• Diharapkan juga orang ramai akan beroleh manfaat melalui bahan-bahan yang dipamerkan atau kegiatan yang diaturkan serta dapat berinteraksi dengan warga tentera dalam suasana yang penuh kemesraan.
15. Sekiranya para pengunjung memerlukan sebarang bantuan seperti perubatan, tandas dan sebagainya semasa berada di sana, adakah peta hala tuju akan disediakan?
• Terdapat berbagai-bagai kemudahan awam akan disediakan khusus untuk para pengunjung ini termasuklah tandas mudah alih, tong sampah, dan khidmat perubatan.
• Satu flyer atau brosur kecil akan diagih-agihkan kepada orang ramai pada hari sambutan bagi membantu mereka mendapatkan kemudahan yang diperlukan.
16. Apakah nasihat mengenai tatacara pakaian yang sesuai semasa mengunjungi acara ini?
• Orang ramai adalah disarankan untuk mengenakan pakaian yang bersesuaian dan yang penting selesa untuk membuat pergerakan.
17. Apakah saranan lanjut yang mungkin perlu dimaklumkan memandangkan ia merupakan kawasan perkhemahan tentera?
• Orang ramai adalah dinasihatkan untuk sentiasa mematuhi arahan yang diberikan khususnya oleh mana-mana anggota tentera yang bertugas.
Pameran Statik
Pertunjukan Gymnastik oleh Physical Training Instructor
Pertunjukan Penyelam dari TLDB
Permainan Menunggang Kuda

Permainan Flying Fox

Permainan Menembak

Pameran Muzium
ABDB


Permainan Paintball

Lokasi Tempat Letak Kerita dan ‘Shuttle Bus’