BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad 3 Februari 2013 – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri hari ini berangkat untuk merasmikan Kejohanan Regata Brunei Darussalam 2013 yang berlangsung di Sungai Brunei berdepan dengan Dermaga Diraja.
Acara di sebelah pagi menyaksikan beberapa perlumbaan dilangsungkan. Perlumbaan pertama sebagai pembuka tirai Regata Brunei Darussalam 2013 ialah Kategori Lumba Perahu Fibre Glass 20 Pekayuh antara Kementerian-kementerian. Tempat pertama dijuarai oleh Kementerian Perindustrian dan Sumber-sumber Utama (KPSSU), manakala Majlis Sukan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (MS ABDB) di tempat kedua dan tempat ketiga Kementerian Pembangunan.
Manakala bagi kategori Lumba Perahu Fibre Glass 12 Pekayuh antara Kementerian-kementerian menyaksikan MS ABDB berjaya mendapat tempat pertama, tempat kedua disandang oleh Jabatan Perdana Menteri dan tempat ketiga Kementerian Pembangunan.
Dalam Kategori Perlumbaan Perahu Tradisi 25 Pekayuh Tempatan, tempat pertama dijuarai oleh Pasukan Gamta Brunei-Muara, berada di tempat kedua ialah Pasukan Kampung Sungai Bunga dan tempat ketiga disandang oleh MS ABDB.






