BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu 11 Mei 2013 – Kementerian Pertahanan telah berjaya meraih di tempat ketiga dalam Pesta Sukan Kementerian – Kementerian 2013 (PSKK 2013), setelah menjadi Juara Keseluruhan pada tahun 2011 dan 2012. Pada tahun ini, sebanyak 9 acara sukan dipertandingkan dengan penyertaan seramai 2063 pegawai-pegawai dan kakitangan kerajaan.

Kontingen Kementerian Pertahanan yang diketuai oleh Awang Haji Azhar Bin Haji Ahmad, Timbalan Setiausaha Tetap (Teknologi), selaku Ketua Kontingen telah bertarung dengan semangat yang kental dan akhirnya berjaya meraih pingat yang terbanyak didalam kejohanan kali ini sebanyak 60 pingat.

Daripada 60 pingat yang diperolehi, pecahan pingat adalah seperti berikut; 15 pingat emas, 23 pingat perak dan 22 pingat gangsa. Juara pada tahun ini, Kementerian Pendidikan telah berjaya meraih 23 pingat emas, 17 pingat perak dan 14 pingat gangsa. Sementara Naib Juara, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan telah berjaya mengatasi Kementerian Pertahanan pada hari penutup kejohanan dengan meraih 17 pingat emas, 11 pingat perak dan 10 pingat gangsa.

Acara – acara peringkat akhir telah berlangsung di Stadium Negara Hassanal Bolkiah pada 11 Mei 2013 antaranya acara VIP Berjalan Kaki 1000m dan acara lari berganti- ganti berpasukan. Majlis Upacara Penutup PSKK 2013 telah dirasmikan oleh Dato Paduka Haji Abdul Wahab bin Juned, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan pingat-pingat dan piala kemenangan.