MELILAS, BELAIT, Jumaat 14 Jun 2013 – Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) telah berjaya mengungkayahkan satu lagi Projek Titian Amal di sebuah balai ibadat di Mukim Melilas, Daerah Belait. Projek Titian Amal ini diadakan sempena dengan Ulang Tahun ABDB ke-52 dan adalah sebahagian daripada sumbangan tahunan dan perkhidmatan kepada masyarakat Negara Brunei Darussalam terutamanya mereka yang memerlukan bantuan.


Projek ini telah bermula pada 3 Jun 2013 dan berakhir pada 13 Jun 2013, yang mana ianya disiapkan dalam masa 10 hari. Projek tertumpu kepada membaik pulih semula balai ibadat Kampung Melilas dan disertakan juga pembaik pulih pejabat kesihatan yang ada dikawasan itu.

Projek ini telah dilaksanakan oleh anggota-anggota Platun Rintis Serang seramai 19 anggota daripada Kompeni Memerintah Batalion Ketiga Tentera Darat Diraja Brunei. Pejabat kesihatan ini akan digunakan untuk menyediakan rawatan kesihatan untuk penduduk di Kampung Melilas.

Majlis penyerahan projek telah disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis, Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin, Pemerintah ABDB. Majlis dimulakan dengan bacaan tahlil dan doa selamat dibalai ibadat dan kemudiannya meninjau kerja-kerja yang telah dibaik pulih.



Tetamu kehormat turut melawat pejabat kesihatan yang mana aktiviti-aktiviti seperti pemeriksaan gigi dan kesihatan dikendalikan oleh anggota-anggota MRS dan Dental ABDB untuk orang-orang kampung pada hari tersebut. Turut hadir untuk menyaksikan majlis tersebut ialah Haji Harris bin Othman Pegawai Daerah Beliat, Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Dewa Mohd Ali bin Abdullah@Itam Pemangku Penghulu Mukim Melilas, YB Ketua-Ketua Kampung Lumut 1 dan Kampung Mumong, Pegawai-pegawai kanan Kerajaan, Pegawai-pegawai kanan ABDB dan wakil-wakil lain dari agensi-agensi Kerajaan, ahli-ahli keluarga rumah panjang Kampung Melilas serta penduduk-penduduk Mukim Melilas, Daerah Belait.