
BOLKIAH GARRISON, Jumaat 26 Disember 2014 - Upacara Penyerahan Bendera Negara Brunei Darussalam kepada Kotinjen Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) yang akan menghadiri Pertandingan Menghafal Al-Quran Anugerah Putera Sultan kali ke-8 bagi Anggota Tentera di Arab Saudi telah berlangsung di Surau Kementerian Pertahanan, Bolkiah Garison.
Penyerahan bendera kebangsaan telah disempurnakan oleh Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih Bin Abdullah, Pemerintah ABDB kepada wakil Ketua Kotinjen, Lt Pg Khairuddin bin Pg Haji Tali.
Majlis pada pagi ini dimulakan dengan Bacaan Khatam Al-Quran kali ke-2 bagi Surau Kementerian Pertahanan sempena Sambutan hari Ulang Tahun ABDB ke-54 yang turut dihadiri oleh YDM Pemerintah ABDB, Pegawai-Pegawai Kanan, Pegawai-Pegawai serta Anggota-Anggota ABDB Kementerian Pertahanan.
Pada tahun ini ABDB menghantar penyertaan bagi 2 kategori iaitu kategori 5 juzuk hafalan yang diwakili oleh Kpl Pg Kamarul Sarip bin Pg Haji Saripuddin dan Kategori 10 Juzuk hafalan yang di wakili oleh Lt Pg Khairuddin bin Pg Haji Tali. Rombongan ABDB ke pertandingan berkenaan turut dihadiri oleh seorang pegawai kanan ABDB selaku pegawai pengiring, seorang Anggota tentera selaku Anggota Pemerhati dan seorang pegawai pembimbing dari Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Pertandingan yang diadakan 2 tahun sekali ini bertujuan bagi menghimpunkan penghafal-penghafal Al-Quran dari kalangan Pegawai dan Anggota Tentera dari seluruh Negara-negara Islam dan ABDB telah dijemput bagi menyertai pertandingan berkenaan bermula dari tahun 2004.
Dengan penyertaan Pegawai dan anggota ABDB dalam pertandingan ini sedikit sebanyak menunjukkan peningkatan didalam perkembangan Syiar islam khususnya didalam pembacaan dan hafalan Al-Quran dikalangan warga ABDB.
