BERAKAS, Rabu 20 Februari 2013 - Majlis penyerahan bendera Negara Brunei Darussalam kepada Rombongan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei yang akan menghadiri pertandingan menghafaz Al-Quran Anugerah Putera Sultan Bin Abdul Aziz ke-7 bagi pegawai-pegawai tentera di Arab Saudi telah berlangsung di ruang berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Berakas.
Hadir di majlis tersebut ialah Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan Bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin, Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pengarah-Pengarah Tentera, Pegawai serta ahli-ahli keluarga rombongan.
Majlis dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah dan Doa selamat pemergian rombongan yang dibacakan oleh Lt Narulismandy Bin Haji Samaih, Pegawai Latihan Jabatan Agama ABDB dan seterusnya penyerahan bendera negara yang disampaikan oleh Pemerintah ABDB kepada Lt Kol Pg Haji Hafiz Bin Pg Haji Kamaluddin selaku ketua rombongan.
Bagi pertandingan kali ini ABDB menghantar satu kategori penyertaan iaitu Hafalan 5 Juzuk Al-Quran yang diwakili oleh Lt Mujib bin Japar Pegawai dari Jabatan Agama ABDB. Rombongan ini turut disertai oleh seorang pegawai pembimbing iaitu Ustaz Haji Mohd Aliman Bin Haji Salim Al-Hafiz , tenaga pengajar Al-Quran dari Institut Tahfiz Al-Quran.
Pertandingan Hafalan Al-Quran Anugerah Putera Sultan Bin Abdul Aziz bagi pegawai-pegawai tentera di Arab Saudi diadakan setiap dua tahun sekali yang mana ianya turut disertai oleh ABDB. Dengan penyertaan Pegawai dan anggota ABDB dalam pertandingan ini sedikit sebanyak menunjukkan. peningkatan didalam perkembangan Syiar islam khususnya didalam pembacaan dan hafalan Al-Quran dikalangan warga ABDB.


