PENANJONG GARISON, Khamis 26 Sept 2013 – Majlis penutup bagi Kursus Kepimpinan dan Pengurusan Pegawai Waran Siri 1/2013 Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) telah diadakan di Bilik Kuliah Halbi Pusat Evolusi Institut Latihan, ABDB.
Hadir selaku Tetamu Kehormat ialah Lt Kolonel Hasmee bin Haji Abd Wahab, Komandan Institut Latihan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei. Turut hadir pada majlis tersebut adalah Pegawai-Pegawai Kanan, Pegawai-Pegawai dan PTB-PTB Kanan dari pelbagai unit Angkatan Tentera.
Kursus Kepimpinan dan Pengurusan Pegawai Waran telah bermula pada 19 Jul 2013 dan berakhir pada 27 Sept 2013 yang telah dihadiri oleh 30 orang peserta kursus terdiri daripada unit-unit di dalam ABDB. Objektif utama kursus ini adalah untuk menerapkan keyakinan dan kemampuan serta kebolehan di dalam merancang dan mengurus hal ehwal pentadbiran berasaskan prinsip-prinsip kepimpinan dan pengurusan ke arah pembentukan seorang PTB Kanan yang berkualiti tinggi dan dapat melaksanakan perancangan-perancangan yang dinamik serta mempunyai nilai-nilai Teras dan ciri-ciri kepimpinan pada setiap individu.
Aturcara utama di dalam majlis itu adalah penyampaian sijil yang disempurnakan oleh Tetamu Kehormat sendiri dan diselajurkan dengan penyampaian hadiah-hadiah kepada pelajar cemerlang dalam kategori masing-masing. 13173 SSjn Hj Mohammad Noh bin Hj Tengah dari Institut Latihan ABDB telah dipilih sebagai penuntut terbaik keseluruhan sekaligus menerima hadiah penuntut terbaik dalam bidang penulisan kertas kerja, manakala 10809 PW2 (U) Matussin bin Matassan dari Tentera Udara Diraja Brunei dipilih sebagai penuntut terbaik Amali dan penuntut terbaik Akademik disandang oleh 11649 SSjn Pg Salamat bin Pg Zulkiflee. Bagi kategori sindiket terbaik pula disandang oleh sindiket 2.
Di majlis itu juga, Tetamu Kehormat dalam ucapannya turut menekankan mengenai salah satu nilai tambah kursus adalah untuk melatih para peserta kursus terhadap kepentingan untuk memahami semua tanggungjawab dari segi kepimpinan dan pengurusan sekaligus bertindak sebagai Pemimpin pertengahan untuk mencapai hasrat menjadikan seorang pemimpin yang responsif, proaktif, inovatif dan mampu berfikir dengan fikiran yang bernas serta menekankan tatacara pengurusan yang bersistematik dan relevan dengan keupayaan menggunakan sistem 3P di dalamnya iaitu Pemerintahan, Pengurusan dan Pengawalan. Diakhir ucapannya, Tetamu Kehormat dengan rasminya telah menutup Kursus Kepimpinan dan Pengurusan Pegawai Waran Siri 1/2013.