SUNGAI AKAR, Jumaat, 08 Mac 2013 – Sekolah Pegawai Kadet (OCS) Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), mengalu-alukan anggota pengambilan kesepuluh yang terdiri daripada 27 pegawai kadet baru yang akan menjalani latihan di Sekolah Pegawai Kadet.
Majlis rasmi berlangsung di Dewan Makan Sekolah Pegawai Kadet Akademi Pertahanan ABDB, di mana Timbalan Menteri Pertahanan Yang Mulia Dato Paduka Haji Mustappa bin Haji Sirat menyampaikan ucapan yang menekankan nilai-nilai kepimpinan, keselamatan dan kesejahteraan, semangat setiakawan yang harus ada kepada setiap yang dipanggil sebagai bakal pemimpin.
Dato Paduka Haji Mustappa menekankan bahawa
“adalah penting bagi semua Pegawai Kadet untuk menanam semangat murni dan tulus ikhlas menjadikan kerjaya pegawai tentera ini sebagai pilihan kerjaya yang utama, bukan hanya setakat untuk “mencuba-cuba” sahaja yang mungkin akan lentur di pertengahan jalan. Adalah tidak wajar sekiranya perjuangan ini hanya separuh jalan, atau lemah semangat di pertengahan, sedangkan ramai rakan-rakan yang lain yang tidak terpilih berharap untuk memasuki Sekolah Pegawai Kadet.”
Beliau menyatakan yang “Pegawai-Pegawai Kadet juga semestinya sentiasa berdaya-saing secara sihat antara satu sama lain dalam sama-sama memastikan kualiti pencapaian semasa latihan adalah yang terbaik. Di samping itu, nilai-nilai esprit de corp, semangat setiakawan harus dipupuk dan disemai selama dalam latihan, working as a team, saling faham memahami, tolong menolong dan bantu membantu. Ini adalah penting kerana nanti akan menjadi asas kepada tunggak pertahanan yang padu seperti yang ditegaskan oleh Timbalan Menteri Pertahanan.
“Seperti yang telah dititahkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam juga semasa Upacara Sovereign Parade ke-8, keselamatan dan kesejahteraan Pegawai-Pegawai Kadet semasa latihan, akan terus menjadi keutamaan agar Pegawai-Pegawai Kadet akan dapat menjalani latihan dalam suasana yang sesuai dan selamat. Dengan ini beberapa usaha telah pun dikendalikan, antaranya ialah latihan awal atau pre-conditioning yang dijalankan oleh Pusat Optima Kecergasan Tentera, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, bagi tujuan untuk mengurangkan kecederaan ringan semasa latihan kata Yang Mulia Dato Paduka Haji Mustappa.
Beliau berkata “Latihan di Sekolah Pegawai Kadet selama 42 minggu, dicorak dan dibentuk bagi tujuan-tujuan berikut: Pertama, untuk memberi ilmu pengetahuan dan pengalaman yang luas, agar mereka ini arif dan pandai dalam bidang ketenteraan, keselamatan serantau, pengurusan dan kepimpinan. Kedua… membentuk keperibadian yang mulia yang menjamin hubungan yang baik sesama insan, saling faham memahami dan hormat menghormati, Ketiga… meningkatkan ketahanan rohani dan jasmani, agar lebih cekal dan berani menghadapi sebarang cabaran, Keempat… memupuk semangat patriotik, iaitu semangat kenegaraan, kesetiaan kepada Raja, Bangsa, dan Ugama serta kepimpinan yang tinggi, dan akhir sekali, sebagai asas kepada semua nilai-nilai yang disebutkan tadi, ialah memberi bimbingan agama dan menanamkan keimanan taat kepada perintah Allah dan kepada kebenarannya.
Dato Paduka Haji Mustappa berkata semua Pegawai Kadet Pengambilan ke-10 ini akan juga dianugerahkan diploma kelulusan Business and Technology Education Council (BTEC), Level Five (5) yang baru-baru ini mendapat pengiktirafan, iaitu dalam pengajian Diploma in Management and Leadership selepas tamat kursus nanti.
