LUBNAN, Khamis 9 Jun 2016 – Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Awang Mohd Tawih bin Abdullah telah mengadakan lawatan rasmi ke MALBATT 850-3 di Lubnan selama lima hari bermula pada 6 Jun hingga 10 Jun 2016.
Turut serta dalam delegasi lawatan Pemerintah ABDB ialah Kepten Yusuf bin Haji Masron, RBN, Ketua Staf Markas Angkatan Bersama, ABDB dan Leftenan Kolonel Haji Norfahsin bin Haji Karim, Pegawai Turus Inspektorat.
Semasa di MALBATT, Pemerintah ABDB berkunjung dan melihat sendiri kesejahteraan kontinjen ABDB yang sedang berkhidmat di bawah Batalion Malaysia (MALBATT 850-3) menjalani operasi misi pengaman dan kemanusiaan Pasukan Tentera Sementara Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) serta meninjau operasi di bawah tanggungjawab UNIFIL di Beirut, di Selatan Lubnan.
Tujuan lawatan ini adalah untuk memberi sokongan moral kepada anggota ABDB menjalankan operasi di luar negara dengan komitmen mereka yang tinggi dan untuk meningkatkan kerjasama antara Brunei Darussalam dan Malaysia.
Pada lawatan ini juga Pemerintah ABDB membuat kunjungan hormat kepada Ketua Misi dan Pemerintah Angkatan Tentera UNIFIL, Mejar Jeneral Luciano Portolano serta berpeluang menyampaikan sumbangan kepada pengetua sekolah Bafliyah Public School berupa keperluan pembelajaran.
Seramai 29 anggota ABDB yang terdiri daripada dua pegawai dan 27 lain-lain peringkat menyertai MALBATT 850-3 dimana mereka telah memulakan operasi keamanan selama setahun ini dari bulan September 2015 dan dijangka kembali ke tanahair pada September 2016.
Pemerintah ABDB bersama rombongan juga berkesempatan untuk membuat lawatan ke Angkatan Tentera Lubnan. Pemerintah ABDB telah mengadakan kunjungan hormat kepada Jeneral Jean Kahwagi, Pemerintah Angkatan Tentera Lubnan. Kunjungan hormat antara lain bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan yang sedia ada serta membincangkan kepentingan perhubungan rapat dan kerjasama di antara kedua buah angkatan tentera bagi memastikan misi UNIFIL dapat dilaksanakan.
Dalam menyemarakan lawatan yang diadakan di dalam bulan Ramadhan ini, Pemerintah ABDB berpeluang berbuka puasa serta menunaikan solat fardu dan tarawih bersama-sama anggota MALBATT 850-3 bertempat di masjid Kawkaba, Kem Ma’rakah.










