BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 12 Mei 2015 – Pasukan Misi Bantuan Kemanusiaan ke Nepal yang diberi nama ‘OPERASI KUKRI’ yang berlepas pada 29 April lalu telah selamat kembali ke tanah air petang ini.
Anggota Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) yang terdiri seramai lapan orang diketuai oleh Leftenan Kolonel Dr. Muhd Hiza Wardy bin Haji Abdul Halim, Pegawai Perubatan ABDB dan empat orang anggota Paramedik ABDB.
Mereka terdiri dari Sarjan Mahadir bin Sata, Koperal Mohd Luqueminol Hakimi bin Haji Ahmad, Lans Koperal Mohd Hafedi bin Kunal dan Koperal Muhd Hidayat bin Abu Bakar dari Khidmat Bantuan Kombat, Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB) berserta tiga orang anggota Unit Simpanan Gurkha iaitu Mejar Bishankumar Rai Dewan, Dr. Santosh Giri dan Sargeant Gorakh Raj Rai.
Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei (LTAB) bagi mengalu-alukan kepulangan mereka ialah Timbalan Menteri Pertahanan, Dato Paduka Awang Haji Mustappa bin Haji Sirat.
Kepulangan mereka diraikan dengan bacaan Doa Selamat oleh Pegawai Operasi Jabatan Agama ABDB (JA’MAAT), Leftenan Pg Haji Muhd Khairuddin bin Pg Haji Mohd Tali.
Turut hadir ialah ahli-ahli Komiti Eksekutif Pertahanan, Komandan-komandan, Pengarah-pengarah, Pegawai-pegawai ABDB dan ahli keluarga.
Pasukan Perubatan ABDB telah berusaha sedaya upaya selama berada di sana memberikan rawatan dan bantuan kepada penduduk Gorkana di Nepal.
Bantuan ini adalah salah satu usaha yang diambil oleh ABDB bagi meningkatkan keupayaannya dan merupakan sumbangan yang berkesan kepada misi keamanan dan usaha-usaha bantuan kemanusiaan baik di peringkat domestik dan antarabangsa.
Usaha bantuan kemanusiaan ke Nepal ini merupakan sebahagian daripada sumbangan negara kepada masyarakat global selaras dengan penekanan yang dinyatakan dalam Kertas Putih Pertahanan dan inisiatif untuk menjaga hubungan diplomasi pertahanan dalam kalangan negara-negara sahabat.
Pada 25 April 2015, Nepal mengalami gempa bumi berukuran 7.8 pada skala Richter dan mengorbankan lebih daripada 5,000 orang dan lebih 10,000 orang cedera.


