BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad 4 Januari 2015 – Pasukan Majlis Sukan ABDB (MS ABDB) menjuarai Piala FA DST 2014 selepas mengalahkan pasukan Najip FC dengan jaringan 2-0 pada perlawanan akhir di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.
Juara Piala FA DST 2013 sekali lagi merangkul kejohanan kali ini setelah Soldadu Mohd. Baharin bin Hamidon dan Soldadu Abdul Azizi bin Ali Rahman menjaringkan gol pada separuh masa kedua.
Dalam perlawanan tersebut, Pasukan Najip FC lebih awal mengasak kubu MS ABDB apabila tandukan penyerangnya, Haziman bin Haji Abdul Rahman, jersi 14 tersasar sedikit ke kiri gawang lawan pada minit ke-16.
Tersentak dengan percubaan dari penyerang Najip FC, pemain MS ABDB mula mencari rentak dengan melakukan beberapa percubaan merbahaya ke kubu lawan.
Sjn (U) Mohd. Haizul Rani bin Metussin, jersi 5, nyaris menjaringkan gol pertama pada minit ke-38, namun rembatan kencangnya sedikit melepasi gawang Najip FC, setelah menerima umpanan dari rakannya.
Kedua-dua pasukan kekal terikat tanpa jaringan hingga tamat separuh masa pertama.
Separuh masa kedua nyata dikuasai MS ABDB, apabila serangan demi serangan dilakukan ke kubu Najip FC, namun kekentalan benteng pertahanan serta kecekapan penjaga gawang yang dikawal oleh Fardhillah bin Haji Mohd Ali menggagalkan percubaan tersebut.
Jurulatih pasukan MS ABDB melakukan beberapa rombakan pemain dengan memasukkan dua penyerang gantian, pemain jersi 8 dan 9, Soldadu Mohd. Baharin dan Soldadu Abdul Azizi pada minit ke-64.
Percaturan tersebut nyata berhasil, apabila pemain penyerang gantian Soldadu Mohd. Bahrin berjaya menggegar gawang Najip FC pada minit ke-75, hasil umpanan cantik rakannya dari sebelah tepi yang terus melakukan rembatan kencang masuk ke kiri gagal ditepis Fardhillah.
Pasukan Najip FC, cuba menyamakan kedudukan melalui serangan mengejut ke gawang MS ABDD namun penyudah yang tumpul menghampakan mereka.
Ketika perlawanan hampir tamat, tiba-tiba Soldadu Abd Azizi, jersi 9, pula menambah derita buat pasukan Najip FC dengan menjaringkan gol kedua buat pasukannya pada minit ke-90, kedudukan 2-0 kekal hingga ke wisel penamat.
Hadiah kejohanan disampaikan oleh Ahli Lembaga Pengarah DST, Awang Abdul Latif bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohd Yusof.
Juara menerima hadiah wang tunai BND5,000, piala pusingan, piala iringan dan pingat.
Naib juara disandang oleh pasukan Najip FC, dengan menerima hadiah wang tunai BND3,000, piala iringan dan pingat.
Hadir menyaksikan perlawanan akhir ialah Pemerintah ABDB, Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Awang Mohd. Tawih bin Abdullah dan Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (NFABD), Yang Dimuliakan Datu Inderasugara Brigadier Jeneral (B) Dato Paduka Haji Mohammad Yusof bin Abu Bakar.



