BOLKIAH GARISON, Juma’at 11 Mac 2016 – Majlis Penutup Kursus Syifa Al-Insan Bagi Anggota-anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei Tahun 2016 telah sempurna dilaksanakan pagi ini di Surau Kementerian Pertahanan, Bolkiah Garison. Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Kolonel Haji Abdul Hadi bin Haji Saim, Pengarah Keanggotaan,  Jabatanarah Keanggotaan, Kementerian Pertahanan.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Anfaal ayat 20-25 oleh peserta kursus iaitu 19637 Laskar Muda Farid bin Hj Md Yusuf, TLDB. Seterusnya tetamu kehormat berkesudian untuk memberikan sepatah dua kata sebelum menutup kursus tersebut dan menyampaikan sijil penyertaan kepada para peserta kursus.
Dalam ucapan tersebut, Pengarah Keanggotaan menyentuh tentang penularan gejala-gejala penyelewengan aqidah yang semakin membimbangkan dan merosakkan keimanan manusia sejagat. Bagi menangani cabaran tersebut, para peserta disarankan untuk melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu pengetahuan dan kemahiran duniawi dan ukhrawi agar dapat membantu menaiktaraf kerohanian individu dan keberkesanan perlaksanaan kerja.

Kursus Syifa Al-insan ini telah berlangsung selama lima hari bermula dari 07 Mac 2016 dan berakhir pada 11 Mac 2016 bertujuan untuk membersihkan jiwa dan memberikan kefahaman tentang agama Islam kepada anggota-anggota ABDB. Selain daripada kelas-kelas keugamaan, para peserta kursus juga didedahkan dengan program kerohanian pada waktu malam seperti kuliah Maghrib, Bacaan Yaasin dan Tahlil, Qiamullail dan Program Kesedaran (Wasiat Iman). Di antara aktibiti lain semasa kursus ialah mengadakan lawatan ke Bilik Pameran, Jabatan Mufti Kerajaan.