BOLKIAH GARISON, Jumaat 8 Nov 2013 – Majlis Penutup Kursus Imam dan Bilal Siri 1/2013 anjuran Jabatan Agama Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (JAMA’AT) telah sempurna dilaksanakan pagi ini di Bilik Jaisyul-Muhyi, Pusat Kaunseling ABDB.
Tetamu Kehormat pada majlis tersebut ialah Kol Haji Zainal Ariffin bin Dato Paduka Haji Ahmad, Timbalan Pemerintah Tentera Darat Diraja Brunei. Turut hadir ialah Pegawai Tugas-tugas Khas kepada Pemerintah ABDB dan Ketua Pusat Kaunseling ABDB.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah An-Nuur oleh peserta kursus Imam dan Bilal iaitu 19642 Sld Mohd Arif bin Awang Damit dan seterusnya tetamu kehormat menyampaikan ucapan. Beliau seterusnya menyampaikan sijil penyertaan kepada para peserta program. Doa Selamat dibacakan oleh 12526Sjn (L) Muhd Luthfir Rahman bin Haji Muhd Noor.
Dalam ucapannya, Timbalan Pemerintah TDDB menyebutkan dengan adanya kursus Imam dan Bilal ini akan melahirkan satu niat untuk memenuhi hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk memartabatkan lagi negara ini sebagai sebuah Negara Zikir.
Beliau juga menyentuh bahawa sebagai sebuah Negara Melayu Islam Beraja, majlis-majlis keugamaan memerlukan ilmu dan pengalaman yang kelazimannya dimiliki oleh para imam dan bilal yang berkemahiran tinggi. Di sinilah kepentingan kursus ini diungkayahkan agar dapat dipraktikkan dalam lingkungan keluarga dan organisasi kerja.
Penuntut Terbaik Keseluruhan disandang oleh 12526 Sjn (L) Muhd Luthfir Rahman bin Haji Muhd Noor. Manakala Penuntut Terbaik Amali dan Penuntut Terbaik Teori ialah 938 Lt (L) Assrol Seni bin Ramlee dan 15662 Kpl Zukry bin Jumat.