TUTONG, Khamis 27 November 2015 – Seorang anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) daripada Batalion Kedua, Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB), Tutong, 51247 Soldadu Harris bin Hadanan, 20, telah melafazkan dua kalimah syahadah dan ikrar pengakuan pengislamannya hari ini pada majlis yang berlangsung di kediaman nenek beliau iaitu Awang Muhd Mahari bin Muhd Tamin di Kampung Bukit, Tutong.
Majlis Pengislaman tersebut dihadiri oleh Pemerintah ABDB, Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Awang Mohd Tawih bin Abdullah selaku tetamu kehormat.
Juga hadir menyerikan majlis ialah wakil Pegawai Daerah Tutong, Pemerintah TDDB, Penghulu Mukim Keriam, Penghulu Mukim Telisai, pegawai-pegawai kanan ABDB, Pegawai Pusat Da’wah Islamiah Daerah Tutong dan para jemputan serta kaum keluarga.
Majlis dimulakan dengan bacaan ayat suci Al-Qur’an yang dibacakan oleh anggota daripada Batalion Kedua TDDB.
Majlis diteruskan dengan pengakuan lafaz dan ikrar pengislaman 51247 Soldadu Harris di hadapan Pegawai Pengislaman Pusat Da’wah Islamiah.
Soldadu Harris telah memilih nama Islamnya dan kini dikenali sebagai Awang Muhammad Harris Zuhaily bin Hadanan.
Laungan Dikir Marhaban serta taburan bunga rampai disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis serta para jemputan bagi memeriahkan lagi acara pada petang ini yang disertai dengan penyampaian cenderahati ABDB oleh tetamu kehormat kepada anggota yang diraikan.
Bagi memberkati majlis yang penuh kerahmatan ini, Doa Selamat dibacakan oleh Pemangku Penolong Ketua Jabatan Agama ABDB, Kapten Pg Muhd Khairuddin bin Pg Haji Mohd Tali.
Mengikut rangka statistik, ini adalah merupakan Majlis Pengislaman yang ke-10 bagi anggota ABDB dari bulan Januari 2015.


