TUTONG, Khamis 16 Mei 2013 – Seorang anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei(ABDB) daripada Batalion Ketiga Tentera Darat Diraja Brunei berbangsa Dusun dari Kampong Rambai, Tutong telah melafazkan dua kalimah syahadah dan ikrar pengakuan pengislaman iaitu 18008 LKpl Renoh bin Rosli.


Majlis pengislaman berlangsung di rumah kediaman 9619 Sjn (B) Mazlan bin Hj Wahab di Perpindahan Bukit Beruang, Tutong. Hadir selaku tetamu kehormat di majlis tersebut ialah Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan Bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin, Pemerintah ABDB.

Turut hadir menyerikan majlis ialah Wakil Pegawai Daerah Tutong, Pegawai Turus Keanggotaan ABDB, Pegawai Pemerintah Batalion Ketiga TDDB, Pegawai Daerah Tutong, Ketua Kampung Perpindahan Bukit Beruang, Pegawai-pegawai Kanan, Pegawai Pusat Dakwah Islamiah Daerah Tutong dan para jemputan serta kaum keluarga.


Majlis diteruskan lagi dengan pengakuan lafaz dan ikrar pengislaman 18008 LKpl Renoh bin Rosli di hadapan Pegawai Pengislaman Pusat Dakwah Islamiah, Daerah Tutong. Laungan Dikir Marhaban serta taburan bunga rampai oleh tetamu kehormat majlis serta para jemputan memeriahkan lagi acara pada malam itu yang disertai dengan penyampaian cenderahati ABDB oleh Pemerintah ABDB kepada anggota yang diraikan. Bagi memberkati majlis yang rahmat ini, doa selamat dibacakan oleh Kapten Ariffin Bin Amit, Penolong Ketua Jabatan Agama ABDB.

18008 LKpl Renoh bin Rosli telah memilih Muhammad Shahme bin Rosli sebagai nama Islam beliau. Beliau telah berkhidmat dengan ABDB  hampir 7 tahun. Mengikut rangka statistik, ini adalah merupakan majlis pengislaman yang ke enam bagi anggota ABDB dari bulan Januari 2013.