KUALA BELAIT, Jumaat  27 Sept 2013 – Seorang anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dari Batalion Kedua Tentera Darat Diraja Brunei telah melafazkan dua kalimah syahadah dan ikrar pengakuan pengislaman iaitu 50158 Sld Philip bin Yancha di No 17, Simpang 4 Jalan Keruak, Perancangan Rumah Negara, Kampong Panaga, Belait.

Hadir selaku Tetamu Kehormat di majlis ialah Brigadier Jeneral Dato Seri Pahlawan Haji Yussof bin Haji Abd Rahman, Pemerintah Tentera Darat Diraja Brunei.

Turut hadir menyerikan majlis ialah Haji Haris bin Othman, Pegawai Daerah Belait, Pegawai Pemerintah Batalion Kedua dan Ketiga, Pegawai-pegawai Kanan, Pegawai-pegawai Pusat Dakwah Islamiah Daerah Belait dan para jemputan serta kaum keluarga.

Majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh Lkpl Nazirul bin Haji Asmat daripada Jabatan Agama ABDB. Majlis diteruskan dengan pengakuan lafaz dan ikrar pengislaman di hadapan Pegawai Pengislaman Pusat Dakwah Islamiah, Daerah Tutong. Laungan Dikir Marhaban serta taburan bunga rampai oleh Tetamu Kehormat serta penyampaian cenderahati diikuti oleh para jemputan memeriahkan lagi acara pada petang itu. Bagi memberkati majlis, doa selamat dibacakan oleh Leftenan Abd Mujib bin Japar, Pegawai Operasi Jabatan Agama ABDB. 

Sld Philip bin Yancha telah memilih Muhammad Danial bin Abdullah Yancha sebagai nama Islam beliau. Beliau bertugas di Platun Lapan Kompeni C Batalion Kedua, Tentera Darat Diraja Brunei. Mengikut rangka statistik, ini adalah merupakan majlis pengislaman yang ke sembilan bagi anggota ABDB dari bulan Januari 2013. Semoga dengan adanya majlis ini akan dapat menyebarkan lagi syiar Islam dan menyerlahkan lagi cahaya keimanan khususnya di kalangan warga ABDB.​