BOLKIAH GARISON, Isnin, 22 Julai 2013 – Seramai tiga graduan universiti-universiti terkemuka Amerika Syarikat telah diraikan dalam majlis penandatanganan perjanjian penyambungan biasiswa ke peringkat sarjana Kementerian Pertahanan.

Majlis berlangsung di Institut Pengajian Pertahanan dan Strategik Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Bolkiah Garison.

Pada tahun ini, seorang penerima biasiswa Pemerintah Tertinggi Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan dua  penerima biasiswa Angkatan Bersenjata Diraja Brunei telah diperkenankan untuk menyambung biasiswa Kementerian Pertahanan bagi melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana.

Penerima biasiswa Pemerintah Tertinggi Angkatan Bersenjata Diraja Brunei adalah Dayang Felicia Poh Wan Ying dan penerima-penerima biasiswa Angkatan Bersenjata Diraja Brunei adalah Dayang Siti Nur ‘Aqidah bte Mohd ‘Azmi dan Dayang Wan Nurul Naszeerah bte Mohd Zainal Abidin Ariff.

Penerima Biasiswa Pemerintah Tertinggi Angkatan Bersenjata Diraja Brunei pada tahun 2009 iaitu Dayang Felicia Poh Wan Ying telah berjaya memenuhi syarat dengan menamatkan pengajian Sarjana Muda Bachelor of Arts in Psychology dari Wake Forest University, Amerika Syarikat dan mendapat keputusan GPA 3.517 Cum Laude Honors pada bulan Mei 2013. Dayang Felicia akan memulakan pengajian peringkat Sarjana Master of Science in Industrial/Organizational Psychology di San Francisco State University, Amerika Syarikat pada 15 Ogos 2013 ini.

Dayang Siti Nur ‘Aqidah bte Mohd Azmi, Penerima Biasiswa Angkatan Bersenjata Diraja Brunei pada tahun 2009, juga telah berjaya memenuhi syarat dengan menamatkan pengajian Sarjana Muda Bachelor of Science in Aerospace Engineering dari Embry-Riddle Aeronautical University, Amerika Syarikat dengan keputusan cemerlang dan pangkat tertinggi GPA 3.904 Summa Cum Laude Honors pada bulan Mei 2013. Dayang Aqidah akan menjalani pengajian peringkat Sarjana Master of Science in Aerospace Engineering, Georgia Institute of Technology, Amerika Syarikat bermula pada 15 Ogos 2013.

Penerima Biasiswa Angkatan Bersenjata Diraja Brunei 2009 seterusnya iaitu Dayang Wan Nurul Naszeerah bte Mohd Zainal Abidin Ariff juga telah berjaya memenuhi syarat penyambungan penganugerahan biasiswa dengan mendapat GPA 3.540 pada bulan Jun 2013 dalam Bachelor of Science in Biological Science, di University of California – Davis, Amerika Syarikat dan akan melanjutkan pengajian peringkat Sarjana Master of Public Health (Epidemiology of Microbial Diseases & Global Health), di Yale University, Amerika Syarikat bermula pada 23 Ogos 2013.

Syarat-syarat untuk penyambungan penganugerahan biasiswa Kementerian Pertahanan adalah:

1.    Mencapai sekurang-kurang GPA 3.50 atau kelas kepujian kelas kedua Atas (2:1) dalam pengajian sarjana muda,
2.    Berjaya mendapatkan tempat untuk menjalani pengajian di Institusi terkemuka di dunia
3.    Berkelakuan Sangat Baik disepanjang penganugerahan biasiswa dan mempunyai tahap integriti dan disiplin yang tinggi.

Sejauh ini seramai 22 orang penerima biasiswa telah mendapat limpah kurnia penyambungan penganugerahan biasiswa termasuk yang diraikan pada hari ini. Dari jumlah tersebut seramai 10 orang telah dan bakal berkhidmat di ABDB sebagai Pegawai Tentera manakala selebihnya iaitu seramai 12 orang telah dan bakal berkhidmat di Kementerian Pertahanan sebagai Pegawai Awam.

Galakan bagi penerima-penerima biasiswa Kementerian Pertahanan melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi dan bersaing diarena akademik antarabangsa di institusi-institusi terkemuka di dunia bertujuan untuk  melahirkan sumber tenaga manusia yang lebih berpengetahuan tinggi, dinamik, dan berdaya saing bagi Kementerian Pertahanan khasnya dan Negara Brunei Darussalam amnya.

Mewakili Kementerian Pertahanan bagi menandatangani perjanjian penyambungan biasiswa ke peringkat sarjana bagi penerima-penerima Biasiswa Pemerintah Tertinggi ABDB ialah Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) Kementerian Pertahanan, Dayang Hjh Suriyah binti Haji Umar.

Manakala Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin telah menandatangani perjanjian penyambungan biasiswa ke peringkat sarjana bagi penerima-penerima Biasiswa ABDB.

Turut menyaksikan majlis tersebut adalah ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif Pertahanan, pegawai-pegawai kanan Kementerian Pertahanan, tetamu-tetamu undangan dan ahli-ahli keluarga penuntut.