BOLKIAH GARISON, 21 Julai 2016 – Seramai 70 anggota terdiri dari pegawai-pegawai dan lain-lain peringkat Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) menyertai bacaan Khatam Al-Quran sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-70.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Major General Dato Paduka Seri Mohd Tawih bin Abdullah, Pemerintah ABDB.

Majlis yang diadakan di Surau Kementerian Pertahanan, Bolkiah Garison turut dihadiri oleh Pemerintah-pemerintah Angkatan Tentera, Pengarah-pengarah, Pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai dan lain-lain peringkat ABDB.

Majlis seumpama ini diadakan pada setiap tahun khas bagi Sambutan Hari Ulang Tahun Hari Keputeraan KDYMM bagi menzahirkan rasa kesyukuran kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala atas limpah rahmat dan nikmatNya menjadikan Negara Brunei Darussalam berada dalam keadaan aman dan sejahtera, di samping bagi mendukung hasrat KDYMM untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah Negara Zikir dengan rakyatnya celik Al-Quran.