BOLKIAH GARISON, Khamis 25 Julai 2013 – Sempena kedatangan bulan Ramadhan yang mulia ini Kementerian Pertahanan tidak ketinggalan dalam sama-sama mengambil keberkatan daripada kemuliaan bulan ini dengan mengadakan Tedarus Al Quran.

Selain itu Kementerian Pertahanan juga mengambil inisiatif dengan merancang untuk mengadakan 2 kali Khatam Al Quran. 

Majlis Khatam Al-Quran pertama bagi Kementerian Pertahanan dan Bolkiah Garison untuk menandakan sempurnanya pembacaan 30 juzuk Al Quran telah berlangsung di Surau Kementerian Pertahanan, Bolkiah Garison

Hadir selaku Tetamu Kehormat ialah Pemerintah Angkatan Bersama ABDB, Laksaman Pertama Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz bin Haji Mohd Tamit. Turut hadir ialah Pengarah-pengarah tentera, pegawai – pegawai dan kakitangan Kementerian Pertahanan dan ABDB.

Majlis dimulakan dengan sembahyang Fardhu Zohor berjemaah di ikuti dengan bacaan Khatam Al-Quran, Takhtim serta Doa Khatam yang dibacakan oleh Imam Suhif bin Haji Abdullah. Majlis diserikan lagi dengan Dikir Marhaban diikuti dengan tetamu kehormat majlis berkesudian menyampaikan bunga telur kepada peserta-peserta Khatam Al-Quran.

Majlis yang sama juga telah diadakan serentak di surau perkhemahan Berakas, Perkhemahan Tentera Udara Diraja Brunei, Perkhemahan Tentera Laut Diraja Brunei, Perkhemahan Penanjong,  Perkhemahan Tutong dan Perkhemahan Lumut.

Majlis Khatam Al Quran kedua akan diadakan pada 28 Ramadhan 1434 bersamaan 6 Ogos 2013.