BOLKIAH GARISON, Ahad, 31 Mac 2013 – Satu majlis khatam Al-Quran  dan Doa Kesyukuran Sempena Hari Ulang Tahun Jabatan Agama ABDB yang ke 7 Tahun telah berlangsung di Surau Kementerian Pertahanan Bolkiah Garison.  Majlis yang diadakan disebelah petang bermula selepas sembahyang fardhu Asar itu, dimulakan dengan bacaan Ayat Suci Al-Quran 30 juzuk yang dibaca oleh Pegawai serta Anggota Jabatan Agama Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.

Hadir dimajlis tersebut ialah Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan Bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pegawai-pegawai Kanan, Pegawai-Pegawai jemputan, PTB kanan dan Rendah.

Majlis diisikan dengan bacaan ayat suci Al-Quran, diikuti dengan sembahyang fardhu maghrib, bacaan Takhtim dan doa khatam Al-Quran serta doa Kesyukuran sempena dengan  Sambutan Hari Ulang Tahun Jabatan Agama ABDB yang ke 7 Tahun. Majlis diakhiri dengan sembahyang fardhu isya berjemaah.

Jabatan Agama ABDB diperkenankan penubuhannya oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 2 Rabiulawal 1427H bersamaan 1 April 2006M dan dirasmikan penubuhannya oleh Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei pada 26 Mei 2006 yang lalu. Disepanjang 7 tahun penubuhan jabatan ini perkembangan syiar islam dan kerohanian dikalangan warga ABDB serta Kementerian Pertahanan  kian meningkat. Ini jelas ketara dengan adanya pengendalian kursus serta latihan dan penyebaran ilmu keislaman dikalangan anggota-anggota turut diambil perhatian oleh jabatan ini. Peningkatan kadar statistik  pengislaman juga turut membanggakan. Keperluan  didalam fardhu ain serta fardhu kifayah anggota juga turut dipantau oleh Jabatan ini. Hari Ulang Tahun Jabatan Agama ini diteruskan lagi dengan upacara Perbarisan yang diadakan pada 1 April 2013 di Padang Kawad B Bolkiah Garison.