LONDON, Isnin 30 Mei 2016 – Majlis Doa Kesyukuran sempena Hari Ulang Tahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) ke-55 telah diadakan pada 30 Mei 2016. Majlis anjuran Pejabat Penasihat Pertahanan, Suruhanjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam, United Kingdom berlangsung di Surau Brunei Hall, London.
Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Leftanan Pengiran Muda ‘Abdul Mateen ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzadin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat ke majlis tersebut selaku tetamu kehormat majlis.
Ketibaan Duli Yang Teramat Mulia dijunjung oleh Tuan Yang Terutama Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin, Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke United Kingdom, dan Leftenan Kolonel (U) Muhd Azmi bin Haji Muhd Husain, Penasihat Pertahanan Negara Brunei Darussalam ke United Kingdom.
Majlis dihadiri oleh pegawai-pegawai Suruhanjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam di United Kingdom, Unit Penuntut-Penuntut, kakitangan ABDB berserta keluarga, penerima Biasiswa Kementerian Pertahanan dan penuntut-penuntut Negara Brunei Darussalam di United Kingdom. Majlis dimulakan dengan Sembahyang Fardhu Asar yang diimamkan oleh Ustaz Haji Muskrisman Safari bin Mustafa, Pegawai Ugama, Unit Penuntut-Penuntut. Majlis diteruskan dengan bacaan Surah Yasin, Tahlil dan Doa Kesyukuran.
Setelah selesai pembacaan doa Kesyukuran, Duli Yang Teramat Mulia berkenan berangkat untuk menikmati majlis Santap petang bersama dengan Tuan Yang Terutama Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam, Penasihat Pertahanan, Pgn Dato Setia Haji Yusof, Ketua Agensi Pelaburan Brunei di London, Pengarah Pengajian dan wakil penerima biasiswa Kementerian Pertahanan – Awang Law Vi Yen.
Sebelum berangkat meninggalkan Majlis, Duli Yang Teramat Mulia berkenan menandatangani Lembaran Keberangkatan dan kemudiannya menerima junjung ziarah dari para hadirin.







