DAERAH TUTONG, Khamis 24 Disember 2015 – Lebih 4780 rakyat dan penduduk di Daerah Tutong yang beragama Islam menyertai Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam Peringkat Daerah yang bermula dan berakhir di Padang Sekolah Rendah Muda Hashim.
Majlis bermula dengan bacaan Surah Al Fatihah beramai-ramai.
Perhimpunan dan perarakan disertai oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Awang Abdul Aziz bin Haji Mohd Tamit.
Turut hadir ialah Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Haji Adnan bin Haji Adam dan Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar Pertahanan dan Pembangunan) Kementerian Pertahanan, Awang Abu Sufian bin Haji Ali.
Juga hadir ialah Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara; pegawai-pegawai kanan kerajaan; penghulu-penghulu mukim dan ketua-ketua kampung.
Pada tahun ini sebanyak 43 buah pasukan menyertai perarakan mengelilingi pekan Tutong sejauh lebih dua kilometer.

