REPUBLIK FILIPINA, Cotabato City, Ahad 4 Ogos 2013 – Lawatan rasmi yang telah berjalan dengan lancar bertempat di Cotabato City, Mindanao, Republik Filipina.

Lawatan ini telah berlangsung selama sehari yang diketuai oleh Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Turut serta dalam rombongan adalah Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Pendikar Alam Dato Paduka Seri Awang Haji Hasrin bin Dato Paduka Haji Sabtu, Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei, Timbalan Setiausaha Tetap Dasar Pertahanan dan Pembangunan, Pegawai-pegawai kanan Kementerian Pertahanan, Pegawai-pegawai kanan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan Pasukan Polis Diraja Brunei.

Ketibaan rombongan di Lapangan Terbang Cotabato disambut oleh Puan Yang Terutama Malai Hajah Halimah binti Malai Yussof, Duta Besar Brunei di Republik Filipina dan Penasihat Pertahanan Brunei di Republik Filipina.

Rombongan berangkat ke Ibu Pejabat 6th Infantry Division yang telah dialu-alukan oleh Ketua Turus Angkatan Bersenjata Republik Filipina, General Emmanuel T Bautista dan Pemerintah 6th Infantry Division bersama Pegawai-pegawai kanan Angkatan Bersenjata Republik Filipina. Lawatan diteruskan dengan menziarahi ‘Grand Mosque’ di Maguindanao dan diselajurkan dengan menunaikan sembahyang fardhu zuhur berjemaah bersama Jawatan Kuasa Takmir Masjid ‘Grand Mosque’. Selesai menunaikan sembahyang fardhu zuhur, program ziarah diserikan lagi dengan penyerahan Mushaf Alquran Alwathiqa Billah dan penyerahan Kurma Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Dipertuan Negara Brunei Darussalam.

Program lawatan diteruskan dengan lawatan ke Ibu Pejabat Pasukan Pemantau Antarabangsa di Maguindanao yang disambut oleh Ketua Misi Pemantau serta Pegawai-pegawai Antarabangsa. Delegasi di berikan taklimat tentang situasi terkini tugasan pemantauan oleh Ketua Misi Pemantau sendiri dengan beberapa dialog bersama delegasi.

Sebelum mengakhiri program lawatan, delegasi melawat ke Ibu Pejabat ‘Team Site 1’ dan memberikan taklimat muthakir tentang perkembangan terkini mengenai dengan penugasan Pasukan Pemantau Antarabangsa khususnya yang melibatkan Penugasan Anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei. Seterusnya Penyerahan Kurma Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Dipertuan Negara Brunei Darussalam dan kuih hari raya kepada Pegawai-pegawai dan anggota-anggota Pasukan Pemantau Antarabangsa di Republik Filipina

Menerusi kunjungan lawatan ini, ianya berhasrat untuk terus mempertingkatkan hubungan kerjasama pertahanan di dalam bidang-bidang yang sedia ada sambil mengeratkan lagi tali silaturrahim di antara kedua buah negara.