
PENANJONG GARRISON, Rabu 29 April 2015 – Timbalan Menteri Pertahanan, Dato Paduka Haji Mustappa bin Haji Sirat, telah membuat satu lawatan ke Sekolah Rendah Binturan, Penanjong Garison.
Sebaik tiba di sekolah berkenaan, Timbalan Menteri Pertahanan beredar ke bilik persidangan bagi mendengar taklimat mengenai profil Sekolah Rendah Binturan yang disampaikan oleh Guru Besar, Cikgu Hazibah binti Haji Abd Manan.
Turut hadir semasa sesi taklimat berkenaan adalah Komandan Institut Latihan ABDB, Leftenan Kolonel Hasmee bin Haji Abdul Wahab, pegawai-pegawai kanan dari Jabatan Sekolah-Sekolah Kementerian Pendidikan, pegawai-pegawai dari Kementerian Pertahanan dan Institut Latihan ABDB serta para guru dari Sekolah Rendah Binturan.
Selepas taklimat, Timbalan Menteri Pertahanan beredar untuk melihat secara dekat beberapa bilik-bilik aktiviti di sekolah berkenaan yang termasuk Art Studio, Bilik Interaktif Pelajar dan ASEAN, bilik perpustakaan, makmal sains dan ‘green house’.
Semasa lawatan, Timbalan Menteri Pertahan juga berkesempatan beramah mesra dengan prefek-prefek pelajar dari kelas Tahun 4 dan Tahun 5 dan juga menyaksikan aktiviti literasi dan ‘Choral Reading’ dari para pelajar dari kelas Tahun 2.
Antara tujuan lawatan ini ialah bagi membuat tinjauan kepada keadaan dan kebajikan anak-anak anggota tentera di sekolah dan seterusnya memberikan perangsang dan motivasi kepada pelajar untuk terus cemerlang dalam pelajaran.