Hari Selasa, 28 Mei 2024M bersamaan19 Zulkaedah 1445H bersamaan 28 Mei 2024M - Dewan Kuliah, Institut Pengajian Pertahanan dan Strategik Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Bolkiah Garison



Bismillahir Rahmanir Rahim dan Salam Sejahtera,


  1. Kementerian Pertahanan melalui Pengerusi Tertinggi Sambutan Hari Ulang Tahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) ke-63, ingin memaklumkan kepada orang ramai yang mana sambutan hari kemuncak pada tahun ini akan berlangsung pada Hari Sabtu, 23 Zulkaedah 1445 Hijrah bersamaan dengan 1 haribulan Jun 2024 Masehi yang mengambil tempat di Penanjong Garison. Sambutan pada tahun ini akan diadakan selama dua (2) hari iaitu dilanjutkan sehingga keesokan harinya, Hari Ahad, 24 Zulkaedah 1445 Hijrah bersamaan dengan 2 haribulan Jun 2024 Masehi.

  2. Selain daripada acara-acara lazim iaitu Upacara Perbarisan Raksasa dan Pameran Statik, ada beberapa acara-acara baharu juga turut diketengahkan pada sambutan kali ini diantaranya ialah segmen Solidarity Jump yang mengambil tempat di Padang Bola B, Institut Latihan, Penanjong Garison, segmen ini melibatkan aksi berani penerjun-penerjun terjun payung gaya bebas dari sebelas (11) buah negara-negara sahabat. Manakala, di Dewan Nikmat, Penanjong Garison pula berlangsung segmen Pameran Keupayaan Tentera dan Industri Pertahanan dari syarikat-syarikat industri pertahanan antarabangsa daripada dua puluh (20) buah negara.
  3. Disamping itu juga, bazaar jualan dari peniaga-peniaga tempatan akan di tempatkan di Stadium Mini, Penanjong Garison berserta aktiviti-aktiviti keluarga diantaranya horse riding dan aktiviti lasak seperti flying fox. Beberapa persembahan hiburan dari Pancaragam ABDB juga akan turut berlangsung.
  4. Jadual harian bagi acara-acara yang akan berlangsung selama dua hari bermula di Hari Pertama iaitu Hari Sabtu, yang mana acara-acara akan berlangsung seawal jam 7.30 pagi dan berakhir pada jam 4.30 petang. Manakala, pada keesokan harinya, Hari Kedua iaitu pada Hari Ahad, acara akan bermula dari jam 9.00 pagi dan berakhir pada jam 4.30 petang.

  5. Sebanyak tujuh (7) kawasan letak kereta telah dikhaskan dan sekaligus menjadi shuttle buses’ pick-up points masuk iaitu di Tanah Lapang Berhadapan Hospital Tutong, di Taman Rekreasi Sungai Basong; Dua kawasan dikhaskan di dalam Perkhemahan Tutong iaitu di Tanah Lapang Kenderaan Berdepanan dengan Surau dan Tanah Lapang Berdepanan Bomba; Manakala, tiga kawasan lagi turut dikhaskan di dalam Penanjong Garison iaitu di Kawasan Letak Kenderaan KOWIRA, Sekolah Rendah Binturan dan Kawasan Tanah Lapang Berhadapan MRS.
  6. Khidmat shuttle bus bermula seawal jam 5.45 pagi pada masa-masa yang telah ditetapkan dan berakhir pada jam 6 petang. Kesemua perjalanan bagi kenderaan orang ramai yang akan masuk ke Penanjong Garison adalah dari laluan pintu masuk belakang perkhemahan melalui Kampong Penanjong. Kemudiannya, shuttle bus tersebut akan menuju ke drop-off points yang telah ditetapkan iaitu di Padang Tembak Jarak 25 meter yang juga nanti akan menjadi pick-up point untuk keluar dari perkhemahan.

  7. Oleh itu, orang ramai adalah dialu-alukan untuk berkunjung datang beramai-ramai bersama keluarga bagi sama-sama memeriahkan lagi sambutan itu nanti.
  8. Walaubagaimanapun, orang ramai adalah dinasihatkan untuk tidak meninggalkan barangan berharga di dalam kereta bagi mengelakkan akan kejadian yang tidak diingini berlaku.
  9. Memandangkan cuaca yang berkemungkinan diramalkan kurang menentu dan sangat aktif, orang ramai adalah disarankan untuk mengambil langkah-langkah berwaspada seperti sentiasa memastikan untuk minum air secukupnya bagi mengelakkan dehidrasi dan berlindung di tempat-tempat yang redup ataupun menggunakan payung jika perlu bagi mengurangi pendedahan kepada risiko strok haba akibat daripada cuaca yang sangat panas.

  10. Turut diingatkan kepada orang ramai untuk lebih beretika dan bertolak ansur seperti mematuhi had kelajuan semasa memandu di dalam kawasan perkhemahan, tidak meletakkan kereta bukan di kawasan yang telah dikhaskan, beratur sebelum menaiki shuttle bus yang disediakan dan tidak berebut-rebut ketika turun. Orang ramai juga diingatkan untuk mematuhi segala arahan dan larangan dari petugas-petugas kerana kawasan perkhemahan adalah kawasan-kawasan yang terkawal terutama sekali mengambil gambar di kawasan-kawasan tegahan.
  11. Akhir sekali, orang ramai dipesankan agar peka akan keadaan sekeliling iaitu sentiasa berwaspada semasa menyeberangi jalanraya didalam perkhemahan, yang mana dikhuatiri kenderaan ataupun jentera berat tentera akan melalui jalan-jalan tersebut.
  12. Sebarang kecemasan mahupun kecederaan boleh melapor secara terus kepada petugas-petugas, pondok-pondok medik yang berhampiran ataupun bersegera ke Medical Reception Service (MRS) perkhemahan.
  13. Sebagai makluman, Upacara Perbarisan Raksasa pada hari kemuncak sambutan akan bersiaran langsung menerusi televisyen melalui RTB Sukmaindra dan RTB Perdana, RTB Go Live di www.rtbgo.bn dan melalui corong-corong radio di RTB Nasional dan RTB Pilihan. 
  14. Sebarang perkembangan mengenai sambutan pada tahun ini mahupun maklumat yang telah disampaikan sebentar tadi boleh diperolehi di akaun sosial rasmi Kementerian Pertahanan. ​

 

Sekian, Terima Kasih.​