BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis 24 Disember 2015 – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan berangkat ke Majlis Perhimpunan dan Perarakan Sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam Peringkat Negara di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien.
Berangkat sama Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel.
Majlis sambutan dimulakan dengan bacaan Surah Al Fatihah beramai-ramai yang dipimpin oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia kemudian berkenan berangkat menerima junjung ziarah serta bersalam-salaman dengan ketua-ketua pasukan yang mengambil bahagian dalam perhimpunan dan perarakan tersebut.
Acara diteruskan dengan persembahan Dikir Marhaban yang dibawakan oleh Pasukan Dikir Kementerian Kewangan dikuti dengan tembakan meriam sebanyak 21 das dilepaskan.
Sebelum perarakan dimulakan, Doa Selamat dibacakan oleh Yang Berhormat Mufti Kerajaan diikuti dengan bacaan selawat oleh Yang Berhormat Pehin Datu Imam Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Abdul Hamid bin Bakal.
Perarakan mengelilingi sebahagian BSB sejauh 3.7 kilometer didahului oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia berserta kerabat diraja dan pembesar-pembesar negara.
Lebih 3200 anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) menyertai perhimpunan Maulidur Rasul tahun ini di ke empat-empat daerah. Penyertaan ABDB di ibu negara di ketuai oleh Kolonel Awang Khairul Hamed bin Awang Haji Lampoh, Ketua Staf Tentera Darat Diraja Brunei.
Manakala lebih 100 orang pegawai-pegawai dan kakitangan awam Kementerian Pertahanan menyertai Sambutan Maulidur Rasul yang di ketuai oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Teknologi), Kapten (B) Haji Mohd Amirul Shahnoel bin Haji Mohd Noeh.
Sebanyak 143 pasukan yang terdiri dari kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan, majlis perundingan kampung dan jemaah takmir masjid, institusi-institusi pengajian tinggi serta maktab-maktab dan sekolah-sekolah menengah dengan keramaian lebih 12 ribu peserta.
Sambutan bertemakan ‘Menghayati Sunah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam’ antara lain membawakan pengertian sunah dari segi bahasa bermaksud perjalanan, amalan atau cara hidup manakala dari segi istilah ahli-ahli hadis ialah apa-apa yang terbit daripada Rasulullah sama ada perkataan, perbuatan, pengakuan, sifat kejadian dan akhlak Baginda.






