BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 6 Oktober 2015 – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan berangkat melawat bagi meninjau ke beberapa agensi dan kawasan terlibat dalam Eksesais Perisai Kebangsaan (EPK) 04/2015.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia mula-mula berkenan berangkat melawat ke Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Keberangkatan tiba Kebawah DYMM di Kompleks JPM dijunjung oleh Menteri Tenaga di JPM, selaku Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negara (JKN), Yang Berhormat Pehin Datu Singamanteri Kolonel (B) Dato Seri Setia (Dr.) Awang Haji Mohd Yasmin bin Haji Umar; Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri yang juga selaku Ahli JKN, Yang Dimuliakan Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof dan Setiausaha Tetap (Bahagian Keselamatan dan Penguatkuasaan) di JPM, Dato Paduka Awang Haji Hamdan bin Haji Abu Bakar.
Baginda kemudian berkenan mendengarkan sembah taklimat daripada Ketua Sekretariat JKN, Dato Paduka Awang Haji Muhd Juanda bin Haji A. Rashid.
Baginda seterusnya beredar ke Pusat Kawalan Negara (PKN), Ibu Pejabat Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB), Gadong, keberangkatan tiba baginda di sana, dijunjung oleh Timbalan Pesuruhjaya Polis, Dato Seri Pahlawan Awang Haji Mohd Jammy bin Muhd. Shah Al-Islam.
Sejurus selepas itu, baginda berkenan beredar ke Emergency Preparedness and Response Room (EPAR) di Menara Jabatan Penerbangan Awam, Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei (LTAB).
Keberangkatan tiba baginda dijunjung oleh Menteri Perhubungan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Hamzah Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Abdullah bin Begawan Mudim Dato Paduka Haji Bakar dan Pesuruhjaya Polis yang juga selaku Pengerusi Emergency Operations Centre (EOC), Dato Paduka Seri Awang Haji Bahrin bin Mohd Noor.
Baginda kemudiannya berkenan melawat Pusat Media di Terminal LTAB yang ditubuhkan khusus untuk menangani krisis dan seterusnya berkenan beredar ke Royal Brunei Crisis Management Centre (RBCMC) di Jalan Kustin.
Keberangkatan tiba baginda di RBCMC dijunjung oleh Timbalan Pengerusi Royal Brunei (RB), Mr. Dermot Mannion dan Pengarah Krisis RB, Kapten Khalidkhan bin Haji Asmakhan serta beberapa orang Ahli Lembaga Pengarah RB.
Setelah itu, baginda seterusnya berkenan melawat Pusat Operasi Family Assistance and Support Team, Pusat Media serta Family Friends Call Centre sebelum berangkat ke Rancangan Perumahan Negara (RPN) Panchor, Mukim Mentiri.
Keberangkatan tiba baginda di RPN Panchor, Mukim Mentiri dijunjung oleh Komandan Institut Latihan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) yang juga selaku Ketua Bersama Sekretariat EPK 04/2015, Kolonel Haji Abidin bin Haji Abd. Hamid; Pegawai Tugas-Tugas Khas Kanan di JPM yang juga selaku Ketua Bersama Sekretariat EPK 04/2015, Awang Haji Ali Rahim bin Abdul Rahman serta Ketua Kualiti Keselamatan Sekuriti dan Alam Sekitar, RB, Kapten Sabirin bin Haji Abdul Hamid.
RPN Panchor, Mukim Mentiri merupakan kawasan terlibat di dalam EPK 04/2015 itu sebagai salah satu kawasan senario krisis yang mana sebuah kapal terbang komersial telah terhempas.
Eksesais anjuran JKN telah bermula 5 Oktober dan berakhir 7 Oktober, melibatkan beberapa agensi kerajaan dan bukan kerajaan bertujuan untuk menguji secara komprehensif tindak balas agensi-agensi terhadap pelbagai senario dan memastikan Negara Brunei Darussalam bersiap sedia untuk menangani sebarang insiden berbentuk kecemasan dan krisis.
Ini termasuk menyelaraskan kesemua agensi dengan pelan-pelan dan prosedur kontingensi kebangsaan, meningkatkan keupayaan membuat keputusan ketika krisis dan menilai keberkesanan struktur, pelan, prosedur dan keupayaan kebangsaan.
