BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 10 Januari 2016 – Pasukan Kadet Tentera ABDB (PKT ABDB) telah menyambut hari ulang tahunnya yang ke 45 Tahun dengan mengadakan Perbarisan di Padang Kawad Askar Simpana Melayu Diraja Brunei (ASMDB) Perkhemahan Rimba, Gadong baru-baru ini.

Upacara perbarisan yang disertai lebih kurang 120 anggota dan 30 orang pasukan Pancaragam PKT ABDB terdiri daripada Ahli Kadet Tentera Sekolah Menengah, Maktab dan Institut Pengajian Tinggi, PKT ABDB telah dimulakan dengan menerima tabik hormat oleh Komandan Institut Latihan ABDB, Kolonel Haji Abidin bin Haji Abdul Hamid selaku Tetamu Kehormat seterusnya memeriksa perbarisan dan memberikan ucapan sempena Hari Ulang Tahun PKT ABDB ke 45 Tahun.

Tetamu kehormat telah berucap dengan menyentuh petikan Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Menyambut Perayaan Ulang Tahun Ke-24 Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam pada 23 Februari 2008 dimana baginda bertitah bahawa: “Belia adalah aset negara. Kerana itu agenda pembinaan belia adalah amat penting untuk diberikan fokus. Mereka yang dibangunkan itu akan menjadi cermin kepada corak kepimpinan masa depan yang penuh teka teki. Jika mereka baik, maka kita pun bolehlah tersenyum lega tetapi jika mereka menjadi insan yang cair moral, maka akan merintihlah negara memikul bebannya.” Dalam Titah tersebut Baginda menyeru agar para belia memperkasa dan mempersiapkan golongan belia sebagai keutamaan, ini disebabkan golongan belia ini adalah sebagai golongan pelapis yang meneruskan dan menarajui negara ini dimasa hadapan.

Turut hadir ialah Leftenan Kolonel Haji Mohd Sheh bin Haji Bagul, Pegawai Pemerintah ASMDB, Pengarah Jabatan Pendidikan Kokurikulum, jemputan-jemputan khas daripada Universiti Brunei Darussalam, Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Institut Teknologi Brunei dan Politeknik Brunei. Antara yang juga hadir adalah Pegawai Waren Tadbir PKT ABDB, Jurulatih PKT ABDB, CFO-CFO dan Guru-Guru Pengawas PKT ABDB.

Diantara penglibatan program Pasukan Kadet Tentera ABDB pada setiap tahun ialah seperti  Hari Belia Kebangsaan, Asean School Game dan National Cadet Corps (NCC) Republik Singapore. Ini adalah sebagai pemangkin dalam menggalakkan Ahli Ahli Kadet Sekolah Menengah, Maktab dan Institut Pengajian Tinggi untuk sentiasa berdaya saing dan komited dalam setiap aktibiti dan perlawanan yang dipertandingkan.

PKT ABDB telah ditubuhkan pada 9 Januari 1971 dan setakat ini diurustadbir oleh seramai 19 orang Pegawai Memerintah. Ketika ini keramaian ahli Kadet Tentera adalah seramai kira-kira 2000 orang terdiri dari PKT Sekolah Menengah, Maktab dan Institut Pengajian Tinggi dari seluruh Negara.