BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis 19 Mei 2016 – Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) telah mengadakan Majlis Ceramah Khas Agama di empat masjid berasingan di keempat-empat daerah bersempena Hari Ulang Tahun ABDB ke – 55 tahun.
Ceramah Khas Agama berkenaan dikendalikan dengan kerjasama Ahli-ahli Jawatankuasa Masjid yang terpilih disetiap daerah.
Ceramah Khas Agama tersebut diselaraskan di masjid-masjid di ke empat-empat daerah yang terpilih iaitu Masjid STKRJ Kampong Lambak Kiri di Daerah Brunei Muara, Masjid Kampong Penanjong di Daerah Tutong, Masjid Zainab, Kampong Lumut di Daerah Belait dan Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar di Daerah Temburong dengan membawa tajuk “Keamanan Negara, Menagih Rahmat Perlindungan Allah” yang disampaikan oleh Pegawai-pegawai dari Jabatan Agama ABDB.
Hadir selaku tetamu kehormat di masjid-masjid tersebut; Masjid STKRJ Kampong Lambak Kiri ialah Pemerintah Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB), Brigedier Jeneral Pg Dato Seri Pahlawan Aminan bin Pg Haji Mahmud, manakala di Masjid Kampong Penanjong, Pemerintah Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB), Laksamana Pertama Pg Dato Seri Pahlawan Norazmi Bin Pg Haji Muhammad, Masjid Zainab, Kampong Lumut, Pemerintah Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB), Kolonel (U) Shahril Anwar bin Haji Ma’awiah, dan Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar, Pemerintah Angkatan Bersama ABDB, Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Haji Hamzah bin Haji Sahat. Turut hadir juga pegawai-pegawai kanan dan anggota ABDB.
Acara dimulakan dengan sembahyang fardhu Maghrib berjemaah, diikuti dengan bacaan surah Yassin dan tahlil, sembahyang fardhu Isya’ berjemaah dan Ceramah Khas Agama.
Majlis yang dikendalikan oleh Ahli Jawatankuasa Kemasyarakatan HUT ABDB ke 55 dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama bertujuan untuk mengeratkan perhubungan diantara anggota-anggota ABDB dan orang awam, serta memberikan kesedaran mengenai pentingnya keamanan bagi sesebuah negara bersama rahmat dan perlindungan Allah.





